Khamis, 25 Oktober 2012

Dewan Rakyat untuk rakyat atau main-main?

 
Penyalahgunaan dewan dan perbuatan melepaskan tanggungjawab terserlah semasa sesi Dewan Rakyat. 



Sesi Dewan Rakyat menonjol sebagai satu medan untuk ahli parlimen berpolitik dan bukannya berdebat mengenai perkara-perkara yang melibatkan kepentingan awam.

Antara yang paling ketara adalah penyalahgunaan dewan oleh ahli parlimen.

Dalam ucapan kebanyakan ahli parlimen, mereka merujuk kepada dewan ini sebagai dewan mulia namun kemuliaan dewan tersebut dinodai dalam ucapan mereka dengan penggunaan bahasa yang tidak beretika.

Contohnya, semalam semasa sesi perbincangan peruntukan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan (Bebas) menggelar Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham (DAP) sebagai pondan.

Gobalakrishnan turut mempamerkan permainan politik beliau dengan membuat tawaran terbuka agar Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him (DAP) keluar parti.

Sim menolak tawaran tersebut. “Saya mempunyai prinsip,” kata beliau. Penggunaan bahasa tidak sopan bukan baru malah sudah acap kali berlaku namun sebagai seorang pemerhati, saya tidak melihat sebarang tindakan tegas diambil oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat mahupun timbalannya.

Lantas satu persoalan yang timbul. Adakah Dewan Rakyat layak dirujuk sebagai dewan yang mulia?
 
 

Pemerhatian kedua saya adalah berkenaan dengan fungsi menteri dan timbalan menteri di Dewan Rakyat.Pada hari Selasa, semasa perbincangan peruntukan Kementerian Kewangan, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin enggan meneruskan sesi tersebut setelah diasak oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan persoalan dalam pelbagai isu.

Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution (PKR) mendedahkan butiran syarikat George Kent yang mendapat kontrak pembinaan LRT di Ampang. Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan menyoal berkenaan peruntukan pembentungan kepada syarikat Indah Water Konsortium (IWK).

Tidak mahu jawab soalan 


Apabila berdepan dengan asakan dalam bentuk persoalan, Awang terus duduk dan tidak mahu menjawab persoalan yang diutarakan.

Berlainan sekali tindakan beliau dengan tindakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datuk Heng Seai Kie pada hari Isnin.

Heng juga menerima asakan soalan dari ahli parlimen Pakatan namun menjawab setiap satu soalan tersebut yang dilontarkan.

Jika perbandingan dibuat di antara Heng dan Awang, tindakan Awang bersamaan dengan melepaskan tanggungjawabnya sebagai timbalan menteri.



Bukankah tanggungjawab beliau yang mewakili eksekutif ialah untuk menjawab soalan pihak perundangan di Dewan Rakyat?

Satu lagi pengamatan saya ialah ketidakhadiran Menteri Kewangan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa sesi Dewan sedang berlangsung.

Namun yang lebih menghairankan saya ialah beliau masih hadir dalam upacara perasmian IBO pada minggu lepas oleh Agensi Inovasi dan juga majlis penyerahan sumbangan kuih dan edaran kad raya Aidiladha untuk jemaah haji Malaysia oleh syarikat 1MDB pada hari Selasa.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut dihadiri oleh isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Kedua-dua acara ini berlangsung di dalam pekarangan kawasan Parlimen semasa sidang Dewan Rakyat sedang berlangsung.

Adakah tindakan Perdana Menteri bersamaan dengan melepaskan tanggungjawab sebagai menteri untuk portfolio-portfolio? Tepuk dada tanya selera.

1 ulasan:

Sabina45 berkata...

Jangan buat tak tau Najib hadir buat perasmian ada makna, kalau dia hadir diDewan Rakyat untuk nak jawab semua soalan pembangkang nanti menteri dia tak ada kerja pula yang benggong menteri dia la yang kita juga melantik mereka, jadi yang turut benggong kita juga kenapa dok pi pilih orang yang tak tau nak jawab soalan mudah.