Saya
begitu teruja dengan pendapat seorang bergelar Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, supaya menggunakan elemen budaya popular
seperti tarian Gangnam Style dan lagu Kolaveri untuk mendekati orang
muda. Gangnam Style merupakan lagu penyanyi pop Korea Selatan, PSY, yang
mencetuskan fenomena seluruh dunia.
Menurut beliau, Gangnam dan Kolaveri ini lebih popular daripada lagu Negaraku. Persoalan saya, bolehkah Gangnam atau Kolaveri ini disamakan tarafnya dengan lagu kebangsaan? Martabat Negaraku begitu tinggi berbanding Gangnam. Apakah lagu kebangsaan sesuai dengan rentak sedemikian? Budaya apa yang hendak dipupuk?
Sepanjang
kajian saya terhadap lagu kebangsaan negara, tidak ada satu lagu
kebangsaan berentak sedemikian gila bunyinya. Begitu juga lagu 1M4U,
sudah tentu jauh bezanya dengan Gangnam. Kenapa kita terlalu terikut
dengan rentak dan cara hidup orang lain? Maka tidak hairanlah kalangan
remaja kita kurang semangat patriotik, rupa-rupanya kalangan pemimpin
pun tidak mencanangkan budaya kebangsaan, malah lebih memuji budaya
luar yang tidak ada kena-mengena dengan cara hidup kita?
Apakah
kita sudah ketandusan idea untuk mempropagandakan budaya sendiri yang
lebih sesuai? Sebagai rakyat yang mempunyai jati diri, saya tidak akan
terpengaruh dengan 1,000 kali Gangnam atau Kolaveri. Saya masih
mengagumi budaya dan muzik tempatan yang terserlah jati dirinya dan
tidak terinjak-injak seperti orang tidak sedar diri. Jika tarian itu
mahu juga diterima, perlu ada garis panduan supaya tidak terkeluar
daripada norma-norma ketimuran.
Banyak cara lain kerajaan mendekati remaja, selain muzik, terutama pendekatan pengisian spiritual dan muzik bersesuaian. Barat hari ini sedang mengalami keruntuhan akibat muzik yang terlalu menggila sehingga melupakan Tuhan. Hiburan pada mereka hanyalah pada muzik, berpelesiran dengan sesama mahram (LGBT) dan bukan mahram (seks bebas).
Banyak cara lain kerajaan mendekati remaja, selain muzik, terutama pendekatan pengisian spiritual dan muzik bersesuaian. Barat hari ini sedang mengalami keruntuhan akibat muzik yang terlalu menggila sehingga melupakan Tuhan. Hiburan pada mereka hanyalah pada muzik, berpelesiran dengan sesama mahram (LGBT) dan bukan mahram (seks bebas).
Bukti ini
menunjukkan pengaruh Barat begitu cepat meresap ke dalam masyarakat
Timur tatkala orang Barat sendiri menolak budaya tersebut. Hari ini,
Barat mencanangkan staying up, up, up in a down, down, down world
(Ziglar, 2000) dan raising positive kids in a negative world (Ziglar,
1985). Kita pula terlalu sibuk dengan hiburan dan muzik.
Pengalaman
berada di Brisbane Australia selama beberapa hari, menjadikan saya
terfikir, apakah ini sebenarnya kehidupan? Apa sebenarnya kemahuan
manusia? Pada mereka bahagia adalah dengan bekerja keras, mempunyai
wang banyak dan membelanjakannya bagi tujuan hiburan serta berpelesiran
pada waktu lapang. Kehidupan berkeluarga sudah tidak penting lagi.
Maka tidak
hairanlah, bandar-bandar mereka agak sepi pada malam hari antara Isnin
dan Jumaat. Malam-malam bandar ini kembali meriah pada Sabtu dan Ahad.
Pada pandangan mereka, selepas penat bekerja, tibalah masanya untuk
bergembira dan bersuka ria tanpa batas. Persoalannya, adakah ini yang
diindekskan sebagai bahagia? Perlukah bandar raya kita hidup selama 24
jam mengalahkan Barat?
Jika
inilah indikatornya maka tidak hairanlah Malaysia menduduki tempat
ke-51 daripada 156 negara yang dikaji oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB). Indeks ‘Kebahagiaan Sedunia’ yang dikeluarkan PBB di New
York mungkin tidak sesuai untuk kita di sini.
Malaysia
menduduki tangga kedua di Asia Tenggara selepas Singapura, dikatakan
negara paling gembira di rantau itu. Negara maju Scandinavia seperti
Denmark, Finland dan Norway menduduki tiga tempat teratas dalam senarai
tersebut, yang paling bahagia di dunia. Indikator lain yang digunakan
adalah kebebasan politik, rantaian sosial yang mantap dan ketiadaan
rasuah.
Di
kalangan individu pula, kesihatan mental dan fizikal yang baik, tempat
seseorang untuk bergantung, jaminan pekerjaan dan keluarga stabil
adalah faktor diambil kira. Amerika Syarikat menduduki tangga ke-11,
Jepun (44), China (111), Iran (84) dan Syria, 106. Negara paling tidak
bahagia ialah Togo, negara Afrika Barat. Analisis ini ada boleh
diterima, ada yang tidak.
Ramai
sarjana dan agamawan (terutama Islam), bersetuju bahawa kesejahteraan
dan kebahagiaan tidak terbatas kepada perasaan peribadi (subjective
feelings) atau kegembiraan atau keseronokan (pleasure), walaupun
unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan dari makna pengalaman tersebut.
Kebahagiaan hakiki adalah pengalaman rohani yang berteraskan keyakinan
terhadap hakikat alam semesta dan kehidupan yang memancarkan akhlak dan
adab (Wan Mohd Nor, 2011).
Justeru,
apa yang kita perlu fikirkan hari ini bukan budaya terlalu suka
berhibur atau bergangnam, tetapi fikirkan keadaan bagaimana nak
keluarkan manusia dari belenggu kemiskinan dan kehidupan yang terlalu
menghimpit.
Justeru,
saya amat hairan, kenapa kita terlalu ghairah dengan Gangnam dan
Kolaveri? Apakah Gangnam boleh mengenyangkan perut kita? Bila perut
lapar kita akan cari nasi, bukannya Gangnam.
Penulis adalah Profesor Madya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan