Sabtu, 13 Oktober 2012

BN dan Petronas berkomplot hentam janji Pakatan naikkan royalti 20%

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menempelak kenyataan Petronas yang mendakwa operasinya akan terjejas jika bayaran royalti kepada negeri-negeri dinaikkan daripada kadar lima peratus sekarang kepada 20 peratus.

Menangkis sekeras-kerasnya dakwaan itu, Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab merangka Belanjawan Pakatan Rakyat 2013, Rafizi Ramli berkata, Petronas dan BN bersekongkol untuk menghentam Belanjawan Pakatan yang menjanjikan bayaran royalti pada kadar 20 peratus jika membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.

“Saya bimbang Petronas dikenakan tekanan untuk sama-sama menghentam dan mengkritik Belanjawan Pakatan.

“Petronas turut terseret dalam permainan politik BN terutamanya apabila Pakatan Rakyat telah jelas bahawa kenaikan mekanisme itu langsung tiada kena-mengena dengan hasil dan operasi Petronas kerana ia datang daripada peruntukan tambahan daripada belanjawan persekutuan,” katanya.

Semalam, Petronas mengatakan operasi dan hasilnya akan terjejas jika bayaran royalti kepada negeri-negeri dinaikkan kepada 20 peratus.

Syarikat minyak itu turut menyatakan kebimbangan bakal kehilangan projek terancang dengan modal sebesar RM170 bilion yang dirancang untuk lima tahun akan datang.

Pengarah Strategi KEADILAN itu menjelaskan, tambahan 15 peratus royalti yang terkandung dalam Belanjawan Pakatan seperti dibentang baru-baru ini akan diperutukkan daripada belanjawan Kerajaan Persekutuan.

“Pembayaran cukai dan royalti oleh syarikat-syarikat minyak yang lain sebenarnya lebih daripada cukup untuk diperuntukkan sebagai tambahan royalti untuk menaikkan lima peratus kepada 20 peratus,” katanya.

Kata Rafizi lagi, setiap tahun pengeluaran minyak dan gas dijangka mencecah sehingga RM70 bilion, bukan sahaja daripada Petronas tetapi merangkumi syarikat-syarikat minyak yang lain.

“Apakah Kerajaan Persekutuan tidak boleh untuk memastikan bahawa sebahagian kecil daripada RM70 bilion itu dikhaskan kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak dan gas supaya pembangunan di negeri-negeri tersebut boleh berjalan sama cepat dengan di tempat-tempat lain,” jelasnya dipetik Sinar Harian Online.

Tiada ulasan: