"Sudah enam bulan lepas PSC (Jawatankuasa Khas Pilihan Khas Parlimen) mengemukakan syor mereka, tapi SPR terlalu lambat dalam membawa perubahan," kata Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk s. Ambiga dalam ucapannya.
Konsert yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya jelas usaha mereka menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa agar lapan tuntutan, yang diketengahkan sejak dua tahun lalu, dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
"Tiada sebab kenapa lapan tuntutan Bersih tak boleh tunaikan," kata Ambiga.
Kata Ambiga, Bersih 2.0 telah menemui banyak kekurangan dan kesilapan dalam senarai pengundi.
"Kesilapan ini terus berlaku hingga senarai yang baru, kekurangan dan kesilapan ini, kita desak jangan diteruskan," kata Ambiga.
Beliau menambah, "(kali ini) kita ingatkan kerajaan dengan lagu dan muzik."
Konsert tersebut dibarisi artis tempatan antaranya Ito, Julian Mokhtar and the Gang, Soul Saviors, Republic of Brickfields dan kumpulan punk Dum Dum Tak.
Acara kemuncak konsert terbabit telah mempersembahkan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said menyampaikan puisi yang dituju khas kepada pengunjung.
Sebaik sahaja sasterawan negara itu selesai menyampaikan puisi, ia disusuli dengan persembahan Ito yang telah menggamit perhatian pengunjung yang hadir.
Malah, Jawatankuasa Pemandu Bersih turut menyanyi beramai-ramai lagu "Bersih, kami mahu PRU Bersih."
Samad, yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0, turut membacakan puisi yang dikarang khas olehnya.
Beliau berkata: "Lapan tuntutan Bersih masih lagi belum ditunaikan, dan konsert ini adalah jalan untuk kami menyuarakan pendirian kami."
Antara lapan tuntutan Bersih 2.0 ialah membersihkan senarai daftar pengundi, mereformasikan sistem undi pos, menggunakan dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah, dan menghentikan politik kotor.
Konsert Bersih 8T berjaya mengutip lebih RM13,000 hasil derma orang ramai yang hadir.
"Kami tidak akan dapat meneruskan perjuangan jika tiada sumbangan," kata Samad.
Bersih sebelum ini pernah menganjurkan dua demonstrasi besar-besaran di ibu negara menuntut pilihan raya yang adil dan bersih dengan yang pertama pada Julai tahun lalu, dan terbaru, Bersih 3.0 pada akhir April lalu.
“Konsert ini bukan sahaja untuk kutipan derma dan bergembira, tetapi dalam masa sama untuk menyedarkan orang ramai tentang lapan tuntutan yang harus ditunaikan, jadi kami mahu suara kami didengari agar dapat pilihan raya lebih adil dan bersih,” kata beliau.
Konsert yang julung kali diadakan itu bermula jam 4.15 petang, dan dihadiri lebih 500 pengunjung yang tidak menghiraukan hujan sejak pagi semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan