Rabu, 17 Oktober 2012

Berpiket: PKNS buat laporan polis

 
Tindakan pemilik rumah berpiket ini telah menimbulkan kekecohan dan menganggu urusan pentadbiran serta perniagaan PKNS.



SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membuat laporan polis berhubung beberapa siri insiden berpiket oleh pemilik rumah kos rendah di depan ibu pejabatnya di Seksyen 13 di sini sejak awal bulan Oktober ini.

Laporan itu dibuat oleh Pengurus Korporat PKNS, Noor Hisham Mohd Ghouth di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, petang tadi sambil diiringi peguam Sankara Nair.

Menurut Noor Hisham, tindakan pemilik rumah berpiket ini telah menimbulkan kekecohan dan menganggu urusan pentadbiran serta perniagaan PKNS.

Dalam laporan polis itu, beliau berkata pihak penganjur piket itu melanggar peruntukan akta perhimpunan aman sehingga menyebabkan kekecohan dan menganggu urusan PKNS.

Maka beliau mahu, Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur yang didakwa menghasut pembeli rumah PKNS supaya melupuskan semua hutang pembelian rumah yang tertunggak dengan pihak pembiaya (bank).

“Piket ini bukan sahaja menimbulkan ketakutan kepada para pekerja PKNS malah menimbulkan kegelisahan di kalangan orang awam,” katanya.

Noor Hisham menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa PKNS bertindak menyelamatkan isu hutang Talam Corporation Sdn Bhd yang melibatkan ratusan juta ringgit.

Semakan dilakukan firma audit bebas, KPMG Transaction and Restructuring Sdn Bhd, mendapati pelaksanaan kutipan hutang sebanyak RM392 juta oleh kerajaan Selangor dibuat secara telus dan tertib mengikut undang-undang.

Sejak awal Oktober lalu, seramai 700 pemilik rumah kos rendah PKNS berpiket sebanyak tujuh kali di hadapan Ibu Pejabat PKNS, di Seksyen 13 kerana menuntut anak syarikat kerajaan negeri itu melupuskan hutang pembeli sepertimana dilakukan terhadap hutang Talam.

Tiada ulasan: