Sabtu, 13 Oktober 2012

Berhenti ugut penulis sukan, NUJ gesa MSN

SINAR HARIAN

KESATUAN Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) menggesa Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan agar berhenti mengugut penulis sukan dengan tindakan menghantar notis perundangan kerana menerbitkan laporan yang tidak memihak kepada mereka.

Setiausaha Agung NUJ, V.Anbalagan berkata penulis sukan seperti juga wartawan lain menjalankan tangungjawab awam mereka untuk berkhidmat kepada para penonton, pembaca, pemerhati atau pendengar.

"Kerajaan memperuntukkan dana untuk membangun dan mempromosi acara sukan dan wartawan mempunyai hak untuk mendedahkan perbuatan salah dan salah urus.

"NUJ percaya penulis sukan dan organisasi media menyumbang laporan yang adil  termasuk memberi hak menjawab kepada pihak yang terkilan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu sebagai respons kepada dua bekas wartawan Malay Mail yang diberikan surat permintaan oleh MSN atas berita yang diterbitkan tahun lepas dan tahun ini.

Anbalagan juga memberi jaminan akan mempertahankan hak penulis sukan dalam menjalankan tugas mereka agar bebas daripada sebarang gangguan. - Bernama

Tiada ulasan: