Selasa, 2 Oktober 2012

Air mata mengiringi belanjawan terakhir UMNO

Oleh Izmil Amri



Hanya air mata yang dapat dititiskan di akhir ucapan pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri Najib Razak yang berbusana hijau dan berhempas pulas menyebut perkataan-perkataan arab dengan lidahnya yang tidak fasih. Perlu pula merujuk skrip yang telah siap ditulis oleh entah siapa.

Malah untuk menyindir lawan politiknya juga Najib Razak malah terpaksa berlakon dengan bersusah payah, dengan aksi tangan dan riak wajah yang dibuat-buat; berbekalkan skrip juga. Ini amat menyedihkan sekali. Menitis air mata dibuatnya.

Kejenuhan Najib Razak untuk berucap sambil menyedari ini mungkin kali terakhir beliau berucap membentangkan belanjawan juga amat mengharukan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Wajahnya yang kian tua dan ganyut menambah simpati terhadap insan yang akan mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri terakhir Barisan Nasional.

Beliau bermula dengan membaca sepotong ayat Al-Quran yang mengajak manusia supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Kita terpana dengan keadaan ini kerana bukan setiap hari kita dapat mendengar Najib Razak memetik ayat Quran. Mau menyebut lafzul jalalah juga amat jenuh bagi lidahnya yang kesat dan keras dek kerana menuturkan penipuan saban hari.

Jadi kita harus rasa kasihan dan bersimpati. Setiap kali beliau membetulkan kain sampingnya yang kerap terlondeh, kita tahu bahawa Sang Perdana Menteri sudah semakin kurus. Kita mesti ada rasa belas terhadap orang ini.

Orang ini sedang menikmati saat-saat akhirnya menyampaikan ucapan belanjawan. Maka kita harus simpati dan bagi muka sedikit apabila orang ini dengan nakalnya mengambil peluang di hujung ucapannya untuk menyindir dan menghentam lawan politiknya. Mungkin ini lah sahaja peluang yang dia ada untuk mengata pihak Pakatan Rakyat secara berdepan, meski tidak berani pun bertentang mata.

Diajak berdebat tidak pula berani. Mentang-mentanglah tiada peluang untuk Anwar Ibrahim membalas kata-kata nista sang Menteri Perdana.

Ucapan politik terburuk

Pokoknya Najib Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Menteri Wanita telah menyampaikan sebuah ucapan politik yang sangat buruk dalam sejarah ucapan politik beliau. Dan di seberang sana, duduk Dato Seri Anwar Ibrahim, bakal penggantinya bersama barisan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang hanya tersenyum dan ketawa kecil melihat telatah Najib Razak yang seakan sedang sembelit.

Kurang dua jam Najib Razak berucap, dengan hampir lima kali meneguk air dan lebih sepuluh kali mengelap liur yang berkumpul di pinggir bibir. Ucapan dua jam itu perlu kita analisa secara teliti untuk memahami tipu daya UMNO di akhir usianya; dan mengetahui betapa kita seharusnya kasihan dengan Perdana Menteri nan satu ini, yang begitu payah berusaha untuk menjadi seperti Anwar Ibrahim.

Marilah kita bertafakur sejenak untuk Najib Razak dan UMNO yang sedang menikmati hari-hari akhirnya duduk di kursi Putrajaya.

Namun persoalan yang lebih besar ialah: Adakah belanjawan yang dicadangkan Barisan Nasional ini satu belanjawan yang baik?

Untuk memastikan samada belanjawan Najib Razak ini baik atau tidak, ada banyak cara untuk menilai.

Salah satu cara ialah dengan mengira berapa kali kita tepuk dahi dan menggeleng kepala apabila mendengar pengumuman beliau. Ini saya kira senang untuk ditentukan.

Satu lagi cara mudah adalah dengan mengira berapa kali kita ketawa. Ini juga mudah.

Menimbangtara belanjawan BN

Yang sedikit rumit ialah dengan menggunakan kaedah matematik dan ekonomi. Cara ini ramai orang tidak tahu.

Buktinya saya ketemu di pasar malam dekat Stadium Malawati pada Jumaat malam itu sendiri. Pakcik yang menjual kebab dan air limau ais di situ bertanya pada saya, “Apa macam bajet? Bagus? Kan gula turun dua puluh sen!” Saya langsung tepuk dahi.

“Pakcik, yang turun dua puluh sen tu subsidi gula. Harga gula betul naik lah dua puluh sen pakcik,” jelas saya kepada beliau yang kemudian terus mencarut.

Sama juga halnya dengan pengumuman bonus satu setengah bulan gaji untuk penjawat awam. Melompatlah kawan-kawan saya yang kerja kerajaan apabila mendengar pengumuman dari Bapa Pengumuman Malaysia itu. Tidak menyedari pun bahawa bayaran bonus itu dibayar dalam tiga bahagian, dengan satu bahagian sudah pun dibayar sewaktu Hari Raya yang lalu.
 
Apa lagi yang kelakar?



Saya rasa yang paling kelakar ialah rebat RM200 untuk pembelian telefon bimbit. Ini sangat lawak.
Bagaimana ini akan meringankan beban rakyat, saya tidak tahu. Pada saya ini hanyalah usaha terdesak untuk membeli undi anak muda. Itu sahaja. Padahal ada banyak lagi perkara yang lebih berfaedah yang memerlukan peruntukan terbabit. Sama juga halnya dengan bantuan untuk orang bujang sebanyak RM250.
Ini juga sebenarnya pembelian undi para mat rempit secara terang nyata.

Ini sangat menyedihkan. Melihat sebuah kerajaan negara membangun sampai demikian terdesak untuk membeli sokongan orang muda adalah amat menyedihkan.

Tambah menyedihkan apabila mendengar Najib Razak bercakap tentang ‘hutang perlu dibayar’ sambil merujuk kepada pinjaman PTPTN. Riuh di laman sosial, Twitter bahawa pesanan tersebut patut disampaikan kepada Tajudin Ramli dan keluarga Shahrizat Jalil. Nampak semacam Najib sedang menarik picu dengan laras pistol menghala ke kaki sendiri.

Inilah dia Perdana Menteri United Malays National Organisation yang dipuja sekalian banyak penyokongnya yang saban hari kian berkurangan. Apa tidaknya jika hanya mampu bercakap sendirian mengutuk ide-ide Pakatan Rakyat, tetapi tidak pula berani tampil dalam sessi perbahasan belanjawan. Ini tambah menyedihkan dan membuat kita berasa kasihan. Apalah lagi yang ada pada parti pemerintah ini sampaikan mahu berdebat di Parlimen juga sudah tidak berani.

Barangkali Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Menteri Wanita sudah tidak sanggup lagi menjawab soal hutang negara yang kian bertambah dengan kerancakan beliau berbelanja demi membeli undi dan sokongan rakyat yang sudah sedia muak dengan politik UMNO. Politik baling cat, sembunyi tangan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: