Jumaat, 11 November 2011

Umno Selangor ibarat ‘kata dulang paku serpih’

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar sikap hipokrit pemimpin Umno BN negeri apabila setelah menjadi pembangkang cuba untuk menjadi wira dan juara rakyat dengan melaporkan perkara-perkara yang tidak berasas dan berfakta.

Justeru, timbalan ketuanya, Mohd Sany Hamzan merasakan kenyataan Adun Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kassim yang mempersoalkan kewajaran langkah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor meletakkan anggota majlis dari kalangan wakil parti politik dalam jawatankuasa tender dan sebut harga pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai orang yang ‘mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih’.

Menurutnya, rakyat Selangor sedia maklum bagaimana semasa zaman pemerintahan Umno BN, jawatan ahli majlis diberikan kepada orang-orang yang mempunyai jawatan di dalam parti dan sentiasa mendapat keuntungan daripada mesyuarat jawatankuasa tender.

Katanya, ada pihak yang menyebut bahawa pada zaman tersebut ahli majlis Umno BN tidak perlu kepada elaun bulanan dan elaun mesyuarat kerana telah menyapu semua projek dan tender yang ada di PBT.

Ujarnya, berbanding keadaan semasa di zaman pemerintahan Pakatan Rakyat, ahli majlis berada di dalam jawatankuasa tender adalah sebagai pemantau perjalanan tender tersebut berjalan dengan telus dan adil tanpa ada kepentingan peribadi.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasa cukup kasihan kepada pemimpin-pemimpin Umno BN yang apabila kehilangan kuasa pemerintahan disebabkan keangkuhan dan kerakusan diri mereka sendiri telah menjadi seperti kapal yang tidak mempunyai nakhoda, teroleng-oleng di tengah lautan, cuba menyelamatkan diri dengan berpaut kepada apa sahaja benda yang ada di hadapan mata walaupun ianya sekadar fatamorgana,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Oleh itu, tambah beliau pihaknya menyifatkan segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilemparkan oleh pihak Umno BN selaku pembangkang di Selangor terhadap pengurusan Kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan berhasil.

Ini, ujarnya kerana ianya akan mencerminkan kebobrokan dan penyelewengan kuasa semasa zaman Umno BN memerintah dan rakyat Selangor sendiri telah boleh menilai segala keburukan pengurusan kerajaan semasa zaman mereka berbanding zaman sekarang di bawah Pakatan Rakyat.

“Jadi tidak perlulah Umno BN cuba berlagak mulia dan alim sedangkan rupa sebenarnya adalah musang berbulu ayam,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: