Sabtu, 19 November 2011

Sukan SEA: Malaysia capai sasaran minimum 40 emas

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

JAKARTA ― Kontinjen Malaysia mencapai sasaran minimum 40 pingat emas pada temasya Sukan SEA Ke-26 di Palembang dan Jakarta menerusi Alex Yoong dalam acara luncur air kategori keseluruhan lelaki individu di Kompleks Sukan Jakabaring di Palembang, Indonesia hari ini.

Sebelum datang ke Indonesia, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan sasaran awal Malaysia antara 40 dan 45 pingat.

Hari ini, bekas pemandu Formula One Malaysia itu memukau penonton dengan kemahiran cemerlang beliau di venue luncur air di Kompleks Sukan di Jakabaring.

“Saya gembira menjadi sebahagian daripadanya (pungutan pingat Malaysia). Ini sesuatu yang membanggakan saya. Sebenarnya, saya tidak menjangkakan saya masih boleh memenangi pingat bagi negara saya dalam acara ini,” kata Yoong, 35, yang kali terakhir memenangi pingat perak pada Sukan SEA Jakarta pada 1997.

Yoong berkata beliau baru memulakan latihan bagi Sukan SEA tahun ini sejak lima bulan lepas dan tidak menyangka masih mampu menyumbangkan pingat bagi Malaysia.

Dalam acara hari ini, beliau memperoleh mata tertinggi 1,000 masing-masing dalam slalom dan tricks, manakala dalam acara jumping, beliau sekadar mencatat 777.20 mata.

Pingat perak dan gangsa dimenangi atlet Indonesia, Muhammad Zahidi dan Fajar Eka Samudra masing-masing dengan 2,484.87 dan 1,366.39 mata.

“Saya sangkakan saya bermula dengan sangat sederhana dalam slalom berbanding acara slalom individu semalam, Bagaimanapun, acara tricks adalah faktor utama kepada kejayaan saya hari ini,” katanya.

Beliau kerap beraksi dalam acara luncur air dari 1990 hingga 1995 dan kemudian berhenti pada tahun berikutnya untuk memberi tumpuan kepada perlumbaan F1.

Bernama Online melaporkan bahawa Philippa, adik perempuan Yoong memenangi pingat emas keduanya dalam luncur air selepas menguasai kategori keseluruhan wanita.

Beliau meraih markah tertinggi dalam acara slalom dengan 1,000 mata, manakala bagi acara tricks dan jumping, beliau memperoleh 966.94 dan 532.85 mata bagi jumlah keseluruhan 2,499.79 mata.

Wakil Indonesia Gritiya Endhar Pupul membawa pulang pingat perak dengan 1,916.92 mata manakala Christina Sasha dari Singapura memenangi gangsa dengan 1,024.14 mata.

Atlet luncur air Malaysia menyumbang empat pingat emas, tiga perak dan satu gangsa kepada kutipan pingat negara.

Tiada ulasan: