Sabtu, 5 November 2011

RM2.1 Juta Untuk Bina dan Baik Pulih Dewan Di Shah Alam

Oleh Afix Redzuan


SHAH ALAM : Prihatin dengan masalah penduduk yang memerlukan dewan orang ramai sebagai tempat menjalankan aktiviti kemasyarakatan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan sejumlah RM2.1 juta bagi membina dan menaiktaraf dewan orang ramai sekitar Shah Alam.

Perkara ini diumumkan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan semasa membentangkan Bajet Berimbang MBSA untuk tahun 2012 di sini.

Antaranya pembinaan Dewan Orang Ramai Kampung Padang Jawa selain menaiktaraf dewan di Seksyen 17, 24, 25 dan Pusat Komuniti Bestari di Seksyen U13.

"Kerja-kerja membaik pulih dewan berkenaan termasuklah membaiki kerosakan dari segi pendawaian elektrik serta mempertimbangkan untuk menambah kemudahan lain seperti pendingin hawa.

"Projek menaiktaraf infrastruktur ini merupakan usaha MBSA dalam memastikan keselesaan warga Shah Alam untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Sebelum ini, banyak ruang legar seperti dewan milik MBSA digunakan oleh orang ramai untuk mengadakan aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan, mesyuarat dan sebagainya.

Tambahnya. secara keseluruhan untuk kemudahan infrastruktur awam, MBSA menyediakan peruntukkan sebanyak RM33, 900,000 juta dengan RM9.75 juta daripadanya untuk menaiktaraf fasad bangunan Wisma MBSA, Dewan Bankuet dan Auditorium serta lif kargo.

Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada bajet berimbang MBSA untuk tahun 2012 dengan jumlah hasil yang bakal dikutip sebanyak RM265,157,860 juta.

Selain itu, sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan untuk kerja-kerja pembaikkan bulatan, jalan dan juga lay-by.

Sementara itu, RM4juta akan digunakan untuk menaiktaraf bangunan perniagaan seperti gerai dan juga pasar termasuk pembinaan empat kios perniagaan untuk peniaga kecil menambah pendapatan.

Dalam pada itu, kakitangan MBSA juga bakal menikmati penyelarasan gaji sebanyak 10 peratus bermula tahun hadapan.

Dengan kenaikan ini, peruntukan emolumen di dalam belanja mengurus akan meningkat sebanyak 20.2 peratus daripada RM32,514,780 juta kepada RM39,089,700 juta.

Selain itu, sejumlah RM1.18 juta diperuntukkan untuk menghantar kakitangan meningkatkan kemahiran sementara RM300 ribu lagi untuk kelab rekreasi dan persatuan-persatuan di MBSA melakukan aktiviti kelab masing-masing bagi merapatkan hubungan dalam kalangan warga kerja.

Untuk aspek kebajikan, pihak majlis memperuntukkan RM250 ribu ke Tabung Majikan Prihatin bagi membantu meringankan beban kesusahan khususnya bantuan wang ringgit melalui sumbangan bantuan khairat kematian, hadiah perkahwinan, bantuan hospital dan sebagainya.

Tiada ulasan: