Sabtu, 19 November 2011

PRU: SPR patut ingatkan Najib

Subky Latif


REAKSI Timbalan Pengerusi SPR terhadap kemungkinan Pulau Pinang dan lain-lain negeri Pakatan Rakyat tidak mengadakan PRU serentak dengan PRU 13 ialah ia akan melibatkan perbelanjaan yang lebih besar. Ia akan tambah membebankan kewangan negara.

Lalu dia memuji kerajaan PAS Kelantan kerana tidak pernah mengadakan pilihan raya negeri yang berlainan dengan PRU.

Kesedaran SPR tentang beban kewangan dan beban kerja yang bertambah bagi SPR kerana mengendalikan satu lagi pilihan negeri pula adalah sikap prihatin yang munasabah. Adalah wajar jika pilihan raya iu diadakan serentak.

Tetapi pandangan SPR itu tidak wajar dituju atau disalahkan kepada kerajaan Pulau Pinang saja. Ia wajar diingatkan sama kepada Perdana Menteri yang ada kuasa bagi mengadakan pilihan raya bila-bila yang dia suka.

Zaman bagi Perdana Menteri membuli parti-parti minoriti sudah berakhir. Tidak wajar lagi Perdana Menteri boleh menggunakan kuasa mutlaknya tanpa memikirkan keselasaan pihak lain.

Kerajaan Pulau Pinang tidak sengaja mahu membebankan kerja SPR dan bukan ia tidak sedar akan kesan kewangannya, tetapi ia hanya diadakan di waktu yang berbeza kiranya Perdana Menteri tidak mengambil kira waktu matang penggal pilihan raya itu.

Tempoh matanya lima tahun. Maka waktu yang terbaik ialah masuk tahun terakhir atau lebih tepat menjelang tamat tempoh penggalnya. Kecuali berlaku kejadian yang yang tidak diduga seperti rampas kuasa di Perak dua tahun lalu, maka munasabah pilihan raya tergempar diadakan bagi menentukan supaya yang berkuasa ialah pihak majoriti yang ditentukan rakyat.

Tetapi setiap Perdana Menteri yang sombong tidak pernah memikirkan keselesa orang lain. Justeru dia diberi kuasa, maka dia suka menggunakan kuasanya.

Kerajaan PAS Kelantan di bawah pimpinan Dato Asri dulu dan yang dipimpin oleh ulama sejak 21 tahun dulu tidak pernah tidak serentak dengan PRU ialah ia cukup tenaga dan keupayaan untuk mencabar kuasa Perdana Menteri.

Jika ia mengadakan pilihan raya bersendirian sedang ia bukan parti yang disokong oleh kerajaan pusat, ia tidak terdaya untuk menghadapi tumpuan serangan kerajaan pusat dan tenaga parti BN yang dikerah dari seluruh negara.

Sama ada Kelantan suka atau tidak suka, ia terpaksa terima hakikat keupayaannya. Dengan pilihan raya serentak, ia dapat mengurangkan kesan tekanan musuh politik.

Tetapi dalam suasana Pakatan Rakyat berkuasa di empat buah negeri dan ia mempunyai sokongan yang menggalakkan di beberapa negeri yang dikuasai BN, maka ia mampu bersaing dengan penyokong Perdana Menteri.

Malah tindakan yang demikian adalah bagi mencabar Perdana Menteri yang sombong supaya tidak bongkak dengan kuasa sendiri. Kuasa itu adalah sepatutnya diguna seadilnya, bukan untuk membuli seteru politik yang tidak kuat.

Tentang SPR terpaksa menghadapi beban kerja bertambah, ia adalah tanggungjawab yang SPR terpaksa pikul. Ia ditubuhkan untuk menguruskan pilihan raya, maka ia mestikan bersedia menghadapinya dalam apa keadaan sekali pun.

Sekarang SPR jangan bangkit soal kewangan sebagai bahan propaganda UMNO dan Perdana Menteri. Individu di SPR sebagai rakyat boleh menimbulkannya betapa bertambah beban yang bakal ditanggung rakyat. Tetapi ia tidak ditumpukan pihak yang mencabar saja. Ia juga perlu ditujukan kepada pemegang kuasa supaya tidak lagi bersikap zalim terhadap pelanggan SPR yang lain.

SPR wajar menjadi penasihat yang baik kepada Perdana Menteri. Ingatkan dia beban dan risiko yang bakal dihadapi kira PM terus berbangga dan sombong dengan kuasa mutlak yang ada padanya.

Perdana Menteri tidak lagi boleh sesuka hati untuk mengadakan pilihan raya mengejut. Dia mesti meninjau pandangan pelanggan SPR yang lain yang ada kuasa dalam perkara itu.

Jika Perdana Menteri juga prihatin tentang kewangan negara, maka ia mesti adil dalam menggunakan kuasa dan haknya.

Tiada ulasan: