Beliau sebagai pemimpin sebuah parti besar seperti MCA sepatutnya mendapatkan penjelasan lanjut dari pihak kerajaan negeri Kelantan mengenai hudud, kata Nasrudin Hassan.
PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia sangat kesal dengan tindakan agresif Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menentang hudud, kata ketuanya Nasrudin Hassan.
“Beliau sebagai pemimpin sebuah parti besar seperti MCA sepatutnya mendapatkan penjelasan lanjut dari pihak kerajaan negeri Kelantan mengenai hudud.
“Bukan bertindak melulu seperti seorang anak muda yang baru menyertai parti politik. Tindakan Dr Chua langsung tidak menggambarkan peribadinya sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman jauh sekali bersifat negarawan,” katanya hari ini.
Nasrudin menambah, Dr Chua tidak perlu melatah keterlaluan di usianya yang sedemikian, kecuali beliau mengidap penyakit Islamofobia tahap kritikal dan parah.
Katanya, bukan sahaja Dr Chua , sesiapa pun yang tidak bersetuju dengan hukum hudud mestilah terlebih dahulu memahami hukum tersebut sebelum bertindak lanjut kerana kelak memalukan diri sendiri.
“Saya menggesa Dr Chua memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam sebelum ia mencetus kemarahan umat Islam,” katanya.
Nasrudin bertanya, kenapa hilang rasional sehingga sengaja tidak mahu melihat kebaikan dari hukum hudud ini setelah semua mengakui kegagalan sistem yang ada pada hari ini menangani peningkatan gejala sosial dan jenayah.
Hudud sebagai alternatif
Katanya, kenapa tidak memberi peluang kepadanya (Hudud) sebagai alternatif.
“Apa yang lebih saya kesalkan apabila mereka konsisten menentang hukum Islam dengan pelbagai andaian negatif sedang mereka belum lagi melalui pengalaman berada di bawah pemerintahan yang melaksanakan hukum Syariat Islam ini.
“Sekali lagi saya menyeru agar mereka sertai terlebih dahulu wacana atau diskusi mengenai pelaksanaan hukum syariat Islam.
“Tidak memahaminya perlu kepada penelitian dan pengkajian. Bukan menolaknya mentah-mentah apatah lagi menghinanya. Langkah yang terbaik ialah menyertai wacana dan dialog mengenainya,” kata Nasrudin.
Beliau berkata, kebelakangan ini kerajaan negeri Kelantan menganjurkan seminar dan forum mengenai hukum hudud.
Katanya, sedikit masa lagi, Pemuda PAS juga merancang untuk mengadakan roadshow bagi membuat penjelasan mengenai hudud ke seluruh negara.
“Dr Chua dan pimpinan MCA bolehlah menyertainya dengan dada yang lapang untuk mempelajarinya sebelum membuat apa-apa tindakan,” ujar Nasrudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan