Jumaat, 4 November 2011

NGO sokong hapuskan PPSMI

PPSMI telah gagal kerana pengendaliannya yang bercelaru.



PETALING JAYA: NGO-NGO tempatan menyambut baik keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin menutup terus kemelut pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Buku Jingga, Faris Musa berkata dasar PPSMI yang diperkenalkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memberi sebarang faedah.

Menurutnya, PPSMI telah gagal kerana pengendaliannya yang bercelaru.

“Kita mahukan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih tersusun supaya ia mencapai kejayaan.

“Kita mahu jumlah guru bahasa Inggeris ditambah dan masa belajar lebih lama supaya pelajar dapat menguasainya dengan baik,” katanya.

Sesuai di bandar

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Muhyiddin bahawa keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI sebagai muktamad.

Menteri Pelajaran berkata demikian dalam satu sidang media di ibu negara semalam.

Sementara itu, Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia, Mohd Faizal Salleh berkata, PPSMI sesuai di kalangan pelajar bandar sahaja.

Katanya, sebaliknya pelajar Melayu di luar bandar terus ketinggalan dalam menguasai bahasa Inggeris.

“Adakah guru di sekolah luar bandar itu mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik seperti di kawasan bandar?” katanya.


Tiada ulasan: