Khamis, 3 November 2011

Muslimah PAS turut bantah Seksualiti Merdeka

FREE MALAYSIA TODAY

Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof berkata program yang bertujuan untuk menghalalkan hubungan sejenis di negara ini tidak patut diadakan.




KUALA LUMPUR: Selepas Pemuda, Dewan Muslimat PAS turut membantah Program Seksualiti Merdeka 2011 yang dianjurkan bagi mendapatkan hak kebebasan individu dalam isu pergaulan seksual di dalam negara.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof berkata program yang bertujuan untuk menghalalkan hubungan sejenis di negara ini tidak patut diadakan.

“Walaupun kita mahukan kebebasan untuk berhimpun, perlu ada garis panduan yang tidak melampaui tabii di negara yang agama rasminya adalah agama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Rantau Panjang berkata, umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan gaya kehidupan Barat yang memperjuangkan hak kebebasan hubungan sama jenis.

Sementara itu, Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu tindakan segera diambil oleh pihak bertanggungjawab dalam hal ini.

Program yang dianjurkan buat kali keempat itu berlangsung di Galeri Annexe, Pasar Seni bermula Selasa lepas sehingga 13 November ini dan dilaporkan akan dirasmikan oleh Penganjur Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Antara penaja dan penyokong program itu adalah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti diatur seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.- Bernama

Tiada ulasan: