Selasa, 1 November 2011

‘Muhyiddin, nasihatkan blog pro-Umno’

Ini perlu kerana penulis blog pro Umno turut memberi kesan terhadap imej Umno-Barisan Nasional.




Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menasihatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) agar tidak membuka pekung di dada sesama sendiri dalam usaha untuk menampilkan BN sebagai barisan yang kuat untuk rakyat.

Walau bagaimana pun dalam perkembangan mutakhir, penulis blog pro-Umno perlu diberi nasihat.

Ini kerana para penulis blog cuba mengambil alih peranan wartawan dan menampilkan parti komponen BN bertentangan dengan apa yang dikatakan Muhyiddin.

Contoh mutakhir adalah tulisan penulis blog hapraknews.blogspot.com dan Papa Gomo yang mendakwa bahawa Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan berdepan menentang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di dalam pilihan raya umum ke 13.

Kenyataan yang dilaporkan ini timbul tatkala Gerakan selesai mengadakan perhimpunan agungnya dan berada di persimpangan politik untuk menentukan hala tuju dan kerelevanan parti tersebut.

Sebelum ini, Papa Gomo melaporkan berita palsu bahawa anak Lim telah dipindahkan sekolah setelah menodai seorang pelajar perempuan.

Yang lebih menarik adalah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pernah mengiktiraf Papa Gomo sebagai wartawan siasatan di dalam laman Twitternya tidak berapa lama dahulu.

Lebih memburukkan keadaan lagi adalah organ dalam talian rasmi Umno, Umno Online turut tidak segan untuk menyiarkan laporan melulu.

Sebagai penulis blog pro-Umno-BN atau pro-Pakatan Rakyat, mereka perlu sedar bahawa penulisan mereka mewakili parti siasah berkenaan dan pembohongan yang ditulis mereka akan dilihat sebagai suara parti.

Dalam keadaan begini, penulis-penulis blog Umno lebih banyak mendatangkan kesan negatif terhadap kerajaan Umno-BN berbanding dengan pertelingkahan sesama parti komponen BN.

Lihat juga:

Koh nafi laporan blog, cabar Guan Eng dalam pilihan raya

Tiada ulasan: