Khamis, 10 November 2011

MAS: Raja Nong Chik cabar Sekretariat Kg Baru kemuka bukti

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Sekretariat Pembangunan Kampung Baru dicabar mengemukakan bukti bahawa Lembaga Pentadbir Pertanian Penempatan (MAS) Kampung Baru di bawah bidang kuasa kerajaan Selangor.

“Dia akan keluarkan bukti? Keluarkanlah...,” kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kepada pemberita hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi sekretariat itu Ahmad Zambri As’ad Khuzami bahawa mereka mempunyai bukti Mas masih berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.

Dalam laporan The Malaysian Insider pagi tadi, Sekretariat Pembangunan Kampung Baru menolak kenyataan Raja Nong Chik Sabtu lalu menegaskan bahawa kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa ke atas MAS Kampung Baru.

Ahmad Zambri berkata, Kampung Baru secara fizikalnya terletak di bawah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Namun begitu, katanya, peruntukan dalam Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950 menyatakan MAS tertakluk kepada bidang kuasa negeri Selangor.

“Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Aziz pernah membangkitkan persoalan berkaitan undang-undang ini di Parlimen pada 27 Jun 2006, dan pada masa itu, jawapan yang diterima daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyatakan, Jabatan Peguam Negara sendiri mengesahkan bahawa Peraturan Penempatan Pertanian Melayu 1951, Warta Negeri Selangor No.50/1951 masih lagi berkuat kuasa sehingga hari ini.

“Seksyen 6(1) Akta Perlembagaan (Pindaan) 1974, Akta A 2006 menyatakan bahawa mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hendaklah terus berkuat kuasa dalam wilayah terbabit sehinggalah undang-undang itu dimansuhkan, dipinda atau digantikan oleh undang-undang bertulis lain yang diluluskan oleh Parlimen,” katanya yang mempertahankan tindakannya.

Sabtu lalu, Raja Nong Chik berkata, Menteri Besar Selangor tidak punya kuasa merombak kepimpinan tertinggi MAS Kampung Baru.

Mengulas lanjut, Raja Nong Chik berkata MAS dipengerusikan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang secara langsung berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“...macam mana dia kata Selangor ada kuasa? Sedangkan ia adalah bidang tugas kerajaan pusat di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Dari segi kuasa merombak keanggotaan lembaga itu juga terletak di bawah kerajaan persekutuan,” katanya dipetik Bernama Online.

Raja Nong Chik juga menyifatkan isu itu sengaja ditimbulkan bagi tujuan politik.

“Sebelum ini saya pernah tegaskan bahawa hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan itu (Kampung Baru) tiada kaitan dengan politik. Niat kita baik untuk membantu pewaris dan pemilik tanah di Kampung Baru memajukan kawasan mereka tapi dengan keizinan mereka,” katanya.

Isu Mas timbul susulan kenyataan Ahmad Zambri pada hujung bulan lepas yang mendakwa rombakan Mas akan dilakukan atas kuasa yang ada pada Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun dalam kenyataan balasnya, Raja Nong Chik dilapor berkata kerajaan Selangor tidak berhak campur tangan dalam pentadbiran Mas kerana badan itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Tiada ulasan: