Lau Weng San
ULASAN Jikalau kerajaan BN membuat rayuan terhadap Mahkamah Rayuan terhadap keputusannya bahawa Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka ini menunjuk bahawa kerajaan BN memandang remeh terhadap prinsip pengasingan kuasa dan prinsip kebebasan kehakiman.
Sekiranya kerajaan BN di bawah Najib menganggap dirinya sebagai kerajaan transformasi yang ikhlas untuk memansuhkan atau meminda sebarang akta yang mencengkam hak-hak asasi manusia, maka ia perlu tegas dalam tindakannya dan tidak akan membuat rayuan lagi.
Malangnya, BN hanya bertolak-dalih dan menyerah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan seolah-olah BN ingin menolak sebarang tanggungjawab untuk bertindak tegas dalam kes ini.
Tindakan BN ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan menimbulkan tanda soal: Siapakah yang menjadi kerajaan pusat? BN atau Jabatan Peguam Negara?
Jikalau BN boleh melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan prinsip pengasingan kuasa seperti apa yang berlaku pada Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar pada tahun 2009 sehingga beliau dikasari dan diheret keluar daripada DUN, adalah amat melucukan kita semua apabila BN pula ingin membuat rayuan dalam kes UKM4 atas alasan keputusan hakim bercanggahan dengan prinsip pengasingan kuasa.
Cengkam kebebasan
Kita harus beringat bahawa semangat prinsip pengasingan kuasa dan kebebasan kehakiman yang diwarisi daripada British turut menekankan peranan hakim dalam membuat takrifan terhadap undang-undang yang sedia ada untuk memastikan keputusan yang dibuat bukan sahaja selaras dengan peredaran zaman tetapi turut mematuhi semngat asal perlembagaan persekutuan serta berlaku adil terhadap rakyat dan kerajaan.
Harus juga diingati bahawa keputusan salah seorang hakim dalam kes UKM4 ini, iaitu Yang Arif Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus (kiri) dalam keputusannya telah menetapkan bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU mencengkam kebebasan bersuara mahasiswa-mahasiswi dan ia tidak membantu untuk melahirkan golongan berfikiran kritikal yang boleh membantu pembangunan negara.
Justeru, mesej yang ingin disampaikan oleh hakim kepada parlimen yang dikuasai BN ialah Seksyen 15(5)(a) ini tidak sesuai dengan zaman moden dan sudah sampai masanya untuk memansuhkan klausa-klausa yang menekan kebebasan bersuara mahasiswa-mahasiswi.
Malangnya, pada pandangan BN, undang-undang hanya merupakan alat kegunaan BN sahaja untuk menekan perbezaan pandangan. Seruan dan mesej daripada keputusan ini langsung tidak dihirau.
Apa yang menyedihkan ialah walaupun keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak berasaskan sebarang kepentingan politik, Kabinet memilih untuk mendiamkan diri dan menyerah kepada Jabatan Peguam Negara untuk membuat keputusan. Ini menunjukkan bahawa BN langsung tidak ikhlas untuk melaksanakan sebarang pembaharuan.
Sebelum ini terdapat ahli-ahli politik BN yang menyeru kabinet agar tidak membuat rayuan. Mereka ini ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Sieu serta Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin. Sekarang saya ingin bertanya mereka, apakah penjelasan mereka terhadap sikap kabinet yang bertolak-dalih ini?
Dolak-dalih
Ini bukan pun kali pertama kabinet membuat keputusan yang berdolak-dalih seperti ini. Dalam perbicaraan terhadap 21 individu yang ditahan kerana mengambil bahagian dalam satu perhimpunan tanpa permit pada tahun 2008 sempena ulangtahun pertama BERSIH di Petaling Jaya, Menteri Dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz juga berkata bahawa keputusan untuk melepaskan dakwaan terhadap semua 21 individu itu terletak di tangan Jabatan Peguam Negara.
Janganlah BN menghina kebebasan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa dengan tolak dalih seperti ini. Ketepikan rayuan itu dengan tegas, jangan mempertahankan undang-undang lapuk yang mecengkam hak-hak asasi manusia dan biarkan kebebasan kehakiman dan prinsip pengasingan kuasa antara kehakiman, eksekutif dan perundangan bertumbuh subur di bumi Malaysia ini. MALAYSIA KINI
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penymbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Penulis adalah dari parti DAP dan ADUN Kampung Tunku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan