Khamis, 24 November 2011

JKP dan PeBT Boleh Memohon Bantuan Dari Bajet Bagi Program Mereka

Oleh Hafizan Taib



SUBANG JAYA - Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) boleh memohon bantuan menerusi peruntukan tambahan RM300 juta yang disediakan Kerajaan Negeri bagi menggerak dan menjayakan segala program demi kebaikan kemuniti setempat dan kemajuan negeri ini.

Peruntukan di bawah geran Selangorku itu adalah bagi menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi pembangunan dalam pelbagai bidang yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata peruntukan RM300 juta itu bukti keprihatinan Kerajaan Negeri kepada semua pihak yang selama ini menghadapi masalah kekurangan peruntukan untuk menjalankan aktiviti dirancang.

Beliau berkata, ia adalah peruntukan bersama Belanjawan 2012 yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 9 November lalu.

"Tan Sri Khalid (Menteri Besar) sendiri bagi pihak Kerajaan Negeri telah mengumumkan sebanyak RM300 juta yang luar daripada belanjawan tahunan untuk tahun depan yang dinamakan geran Selangorku.

"Saya minta Ahli Majlis dan Pengerusi PeBT dan AJKnya serta PBT masing-masing meneliti 17 program di bawah dinamakan geran Selangorku itu," katanya ketika berucap dalam Majlis Pengiktirafan Jawatankuasa Penduduk (JKP) dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi; Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh.

Antara 17 program dinyatakan adalah untuk usahawan muda dan pembangunan wanita, memerangi rasuah, perlindungan alam sekitar, program kemudahan infrastruktur, pembangunan sukan dan sebagainya.

Dana tersebut juga boleh dipohon Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Selangor.

Tiada ulasan: