Isnin, 14 November 2011

Islam bebaskan manusia dari perhambaan

Lahirnya kerajaan penjajahan ialah untuk memperhambakan manusia dan lahirnya kerajaan Islam pula ialah untuk membebaskan manusia dari perhambaan.



PETALING JAYA: Kewujudan parti PAS sejak lebih 60 tahun lalu bertujuan untuk mengambil alih pemerintahan di negara ini bagi membebaskan manusia dari ‘perhambaan sesama manusia’.

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, lahirnya kerajaan penjajahan ialah untuk memperhambakan manusia dan lahirnya kerajaan Islam pula ialah untuk membebaskan manusia dari perhambaan.

“Sesungguhnya Allah SWT memerintah kamu untuk menunaikan amanah (menerusi pemerintahan Islam yang adil dan saksama untuk semua bangsa dan agama),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Perdana bersama Presiden yang bertema ‘Hargai Perjuangan’ di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 7, Shah Alam malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh Lajnah Bangunan dan Harta, Badan Perhubungan PAS Selangor bertujuan untuk mengutip dana bagi membiayai bangunan pejabat baru yang menelan belanja RM1.4 juta di Pusat Perniagaan Worldwide, Shah Alam.

Hadi menegaskan, “menerusi pendekatan Tahalus Siyasi, kita boleh bekerjasama dan menjalin persefahaman dengan parti DAP dan PKR.”

Menurut beliau, dalam kitab Al Ahkam Al Sultaniah karangan al Mawardi disebut bahawa dalam pemerintahan Islam, orang-orang bukan Islam boleh dilantik menjadi menteri.

Ahli Parlimen Marang itu melahirkan keyakinan sekiranya demokrasi tulen diamalkan di negara ini, PAS boleh menang dan membentuk kerajaan persekutuan bersama DAP dan PKR.

“Seperti kemenangan yang dicapai oleh Parti An-Nahdah di Tunisia dan kebangkitan semula Ikhwan Muslimin di Mesir pada musim bunga Arab (Arab Spring),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad dalam ucapannya merakamkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya maka PAS Selangor dapat memiliki bangunan baru tiga tingkat dengan keluasan lebih 5,000 kaki persegi.

“Ini adalah hasil usaha daripada setiap ahli dan penyokong PAS. Satu mimpi yang dulunya mustahil kini sudah menjadi realiti,” ujar beliau yang juga Pengerusi Lajnah Bangunan dan Harta, Badan Perhubungan PAS negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka.

Lebih 1,000 ahli dan penyokong PAS hadir dalam majlis itu. Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor dan juga Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman.

Tiada ulasan: