Ahad, 20 November 2011

Anak Gaddafi ditangkap

MALAYSIA CHRONICLE



TRIPOLI - Anak bekas pemimpin Libya, Saif al-Islam ditangkap di selatan negara ini, kata seorang pegawai kanan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) hari ini.

Menteri Kehakiman NTC, Mohammed al-Allagui berkata, Saif yang pernah disebut-sebut sebagai pewaris Muammar Gaddafi, dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Namun al-Allagui enggan mengulas lanjut penangkapan itu.

ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Saif, ayahnya dan bekas ketua perisikan Gaddafi, Abdullah al-Senussi pada 27 Jun lalu atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan untuk menghentikan tunjuk perasaan antirejim.

Satu sumber majlis 'thwar' (revolusi) Tripoli yang dianggotai bekas pemberontak yang menggulingkan rejim Gaddafi berkata, Saif ditangkap di wilayah Ubari, selatan negara ini.

Pendakwa raya ICC, Luis Moreno-Ocampo pada 9 November lalu berkata, Saif pasti akan ditangkap dan masa sahaja yang akan menentukannya.

Seminggu sebelum itu, Moreno-Ocampo memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ICC menerima soalan daripada individu-individu yang rapat dengan Saif tentang tindakan undang-undang yang akan dikenakan jika dia menyerah diri.

Wakil Saif turut mempersoalkan nasib anak Gaddafi itu sekiranya dia dihadapkan ke mahkamah dan disabitkan kesalahan serta berkemungkinan dibebaskan.

Pasukan penyiasat ICC melawat Libya untuk mengumpul lebih banyak bukti dalam kes Saif dan turut menyiasat dakwaan kes rogol yang dilakukan tentera Gaddafi semasa melakukan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan sebelum demonstrasi itu bertukar menjadi perang saudara. - AFP

Tiada ulasan: