Selasa, 1 November 2011

AIR LIUR SHABERY CHEEK!!! Program Kementerian dituduhnya program Kerajaan Selangor

PASPB


KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menjelaskan jawapan yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam sewaktu sesi penggulungan kementerian itu di Dewan Rakyat adalah tidak tepat dan mengelirukan.

"Saya ingin nyatakan jawapan Menteri Belia dan Sukan tidak tepat serta mengelirukan. Apa yang ingin saya beritahu Kejohanan The Challenger Muay Thai adalah merupakan program di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

"Apabila program telah ada maka kerajaan negeri telah dimaklumkan dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri Selangor memohon agar ianya diadakan di negeri ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, mengenai penglibatan peserta Israel, Ilya Grad kerajaan negeri tidak dimaklumkan bahawa terdapat peserta dari negara tersebut.

"Kerajaan negeri tidak dimaklumkan bahawa dalam kejohanan tersebut ada perserta dari Israel kerana semua jemputan dilakukan oleh pihak kementerian dan Negeri Selangor hanya menyediakan tempat sahaja.

"Sekiranya kita tahu jika ada penglibatan peserta dari Israel sudah pasti kita akan membuat bantahan awal tetapi kita tidak diberitahu. Apa yang kita tahu hanyalah mengenai program tersebut sahaja dan kita sanggup untuk menganjurkannya," katanya.

Khalid memberitahu mengenai penglibatan kerajaan negeri dengan peserta Israel itu tidak benar kerana kerajaan negeri hanya terlibat untuk menganjur dan menyediakan tempat.

Kenyataan Ahmad Shabery semalam memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah memberi peruntukan RM5 juta untuk kejohanan tersebut manakala kementeriannya hanya meluluskan penganjuran sebagai aktiviti kesukanan dan tidak terlibat dengan aspek lain.

"Untuk mendapatkan tempat sebahagian daripada kos tersebut, kita diberitahu bahawa ia perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor, apa yang kerajaan negeri lakukan semuanya diketahui oleh kementerian.

"Kita dijemput sebagai penganjur dam penyediaan tempat manakala urusan jemputan dilakukan oleh pihak kementerian.

"Saya jelaskan kenyataan menteri itu tidak benar sama sekali," sambungnya lagi.

Kehadiran Ilya Grad dalam Kejohanan The Challenger Muay Thai yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini telah menimbulkan persoalan bagaimana rakyat Negara Israel boleh memasuki Malaysia.

Malah sewaktu memasuki Malaysia beliau ditahan selama 25 jam di pintu masuk sebelum mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, "dengan sokongan menteri sukan Malaysia" mengikut kenyataan di blog tinju Muay Thai Authority.

Kejohanan tersebut telah dirakamkan dalam kampus Universiti Putra Malaysia, Serdang untuk stesen TV AXN.

Pusat bawa masuk peninju Israel

SHAH ALAM, 1 Nov: Kerajaan Selangor langsung tidak terlibat dalam penganjuran program realitiThe Challenger Muay Thai yang melibatkan peninju Israel, kata Exconya, Elizabeth Wong (gambar).

Beliau mengulas dakwaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kononnya kerajaan negeri terlibat dalam kemasukan peninju Israel, Ilya Grad yang menyertai sukan itu di Malaysia.

“Menteri Belia dan Sukan tidak patut menunding jari pada pihak lain dan sebagai seorang menteri, beliau patut sedar hal imigresen berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, lapor KeadilanDaily.

Menurutnya, pendirian Pakatan Rakyat sangat jelas bahawa demi semangat setiakawan dengan rakyat Palestin, Malaysia harus menolak sebarang hubungan diplomatik, perdagangan, budaya ataupun sukan dengan rejim Zionis-Israel.

“Kami tidak menjemput mana-mana ahli sukan ataupun menandatangani sebarang dokumen sokongan untuk membolehkan kaum Israel memasuki Malaysia.

“Jika kami dimaklum, Kerajaan Selangor pasti memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Jabatan Imigresen agar menolak kemasukan kaum Israel itu,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menyeru kerajaan persekutuan menghentikan pengeluaran pas masuk khas kepada kaum Israel dalam apa keadaan sekalipun.

Ilya Grad dilapor memasuki Malaysia pada satu tarikh sebelum ini untuk menyertai kejohanan ‘The Challenger Muay Thai’ yang dirakam di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang untuk stesen TV AXN.

Dalam satu tulisan di blog tinju Muay Thai Authority pada 15 Oktober, Grad turut menyatakan dia tidak sabar untuk mengibarkan bendera Israel ketika berada di Malaysia.

Beliau yang memasuki Malaysia melalui Thailand ditahan selama 25 jam di satu pintu masuk negara sebelum berjaya mendapatkan bantuan Persekutuan Muay Thai Malaysia, “dengan sokongan menteri sukan Malaysia.”

Kerajaan Malaysia sebelum ini membayar sebanyak RM77 juta setahun kepada syarikat perunding Israel, Apco Wordwide, bagi menaikkan imej. Syarikat itu juga dibayar untuk mengilhamkan slogan 1 Malaysia yang meniru konsep One Israel.

Pendedahan itu pada Mac tahun 2010 menyebabkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat digantung dari menghadiri sidang parlimen selama hampir setengah tahun.

Tiada ulasan: