Khamis, 24 November 2011

AGM Umno: Berhati-hati bahas, jangan singgung kaum lain

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR— Para perwakilan yang akan berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2011 minggu depan dinasihati agar tidak menyinggung perasaan kaum lain apabila membicarakan agenda Melayu.


Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang memberi ingatan itu Khamis berkata dalam konteks gagasan 1 Malaysia, agenda Melayu masih boleh dikembangkan dengan baik tanpa mengguris perasaan kaum lain yang terdapat di negara ini.

“Di sebalik luahan sentimen yang ingin kita nyatakan, jangan lupa bahawa kita dibumbungi dengan dasar 1 Malaysia.

“Apabila kita beri pandangan tertentu, kita masih perlu memikirkan perasaan kaum lain yang pelbagai dalam negara ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival Seni dan Kebudayaan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) di sini.

Dipetik Bernama Online, Ahmad (gambar) berkata Umno sebagai tunjang parti Barisan Nasional perlu memberikan panduan yang bermanfaat dan dihormati oleh semua kaum.

“Tapi jangan pula kita apabila sudah bercerita tentang gagasan 1 Malaysia, lantas kita tak menyentuh langsung tentang agenda Melayu, itu tak betul,” katanya.

“Dalam kesemua empat sidang yang akan berhimpun, jurucakap perlu sedar dan sensitif bahawa kita berada dalam negara pelbagai kaum yang perlu panduan daripada Umno,” katanya.

Seramai 5,447 perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2011 yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 29 November hingga 3 Disember ini.

Mereka terdiri 2,627 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara, 944 perwakilan Wanita, 942 Pemuda dan 934 Puteri Umno. --TheMalaysianInsider

Tiada ulasan: