Isnin, 26 September 2011

Inkues: Tiada unsur jenayah dalam kematian Sarbaini

Hafiz Yatim


Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbaini Mohamed, 56 jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur selepas berada pada belebas tingkap bangunan itu.

NONEKoroner Aizatul Akmal Maharani, dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, berkata teori bahawa SPRM terlibat dengan kematiannya tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala."

Peawai Pejabat Peguam Negara Mohd Abazafree Mohd Abbas membantu dalam inkues itu manakala SPRM diwakili oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Keluarga Ahmad Sarbaini pula diwakili oleh peguam Awtar Singh mewakili manakala peguam Rosli Dahlan dan Nadia Marni Mat Zin bertindak sebagai pemerhati bagi syarikat multinasional DB Schenker Logistics (M) Bhd.

NONEAntara penemuan penting inkues itu adalah bahawa sistem litar tertutup CCTV SPRM didapati diganggu dengan 22 jam rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan.

Seramai 34 saksi memberi keterangan pada inkues yang mengambil masa 14 hari untuk selesai.

Saksi-saksi yang tampil, termasuk dua ahli patologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Faridah Md Nor dan Dr Shahrum Abd Wahid.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang, ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di Jalan Cochrane 6 April lalu.

NONEBeliau sebelum itu ditangkap sebagai sebahagian daripada program 3B tetapi kemudiannya dibebaskan sebelum kembali kepada SPRM pada hari kejadian itu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya. Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

Balu allahyarham Masiah @ Maziah Manap dan pengerusi Sosial Care Tan Sri Robert Phang turut hadir di mahkamah.

Tiada ulasan: