Isnin, 26 September 2011

ISA bukan penentu kemenangan PRU-13


ANALISIS — Walaupun banyak pihak melihat langkah pentadbiran Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan mempengaruhi aliran sokongan rakyat terutamanya pengundi Melayu, namun perkembangan itu tidak akan memberi impak besar. Malah ia bukan penentu kepada keputusan pilihan raya umum ke-13.

Bagaimanapun mereka tidak menolak langkah Putrajaya itu boleh mempengaruhi pengundi-pengundi atas pagar dalam membuat keputusan.

Pengarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Prof Madya Shaharuddin Baharuddin berpendapat, pemansuhan ISA bukan satu perkara yang penting dan besar kepada rakyat. Sebaliknya ia hanya “berlegar-legar” di kalangan kumpulan tertentu, katanya.

“Selalunya ISA merupakan isu tentang demokrasi dan sudah tentu ia berlegar-legar dalam politik bandar dan kelompok pertengahan.

“Tetapi, bagi majoriti masyarakat Melayu yang lain mereka tidak merasakan ISA itu satu perkara yang besar sebab kalau kita lihat pemansuhan ini, tidak beri apa-apa kesan tetapi imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertambah baik selepas tercalar semasa Himpunan Bersih 2.0, pemansuhan ISA ini turut memberikan sedikit perubahan terutamanya untuk melakukan transformasi politik,” katanya.

Dengan pemansuhan ISA, Pakatan Rakyat dilihat terpaksa akur dengan langkah itu selain sudah tidak boleh menyerang Barisan Nasional (BN) dari sudut akta tersebut.

Justeru Shaharuddin menegaskan, BN berada di landasan tepat dan mempunyai kelebihan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Kalau nak kata isu ISA ini akan mempengaruhi pengundi Melayu, ia belum tentu. Tetapi bagi orang Melayu di bandar dan kelompok pertengahan, ia mungkin boleh (mempengaruhi), namun bagi mereka yang berlandaskan pembangunan saya rasa tidak,” kata pemerhati politik ini.

Mungkin ISA boleh menjadi isu untuk mempengaruhi masyarakat tetapi bagi orang Melayu banyak lagi isu atau pertimbangan lain yang harus diambil kira. Contohnya soal ekonomi yang lebih penting daripada ISA.

“Saya merasakan orang Melayu di luar bandar tidak merasa apa-apa, cuma kelebihan kini di pihak BN,” kata beliau.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Pun begitu, menurut pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia, Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk, pengundi atas pagar mungkin akan terpengaruh dengan langkah Putrajaya kali ini.

“Saya rasa sukar untuk kita buat satu jangkaan bagaimana pemansuhan ISA ini boleh beri kesan negatif atau positif terhadap sokongan pengundi Melayu kepada parti pembangkang,” kata Azeem.

Sebenarnya ia bergantung pada pegangan politik individu. Sekiranya individu itu merupakan penyokong tegar parti pembangkang, maka pemansuhan ISA tidak beri apa-apa kesan. Namun jika pengundi itu, tidak memihak kepada mana-mana parti atau atas pagar ia akan beri kesan agak positif kepada kerajaan.

“Kesan ini hanya kepada mereka yang di tengah-tengah atau atas pagar kerana penyokong kerajaan akan tetap sokong kerajaan dan penyokong pembangkang akan sokong pembangkang namun pengundi yang belum buat apa-apa keputusan mungkin akan beri kesan sekiranya mereka diberi penekanan tentang isu hak asasi manusia,” katanya.

Beliau juga berpendirian bahawa rakyat tidak akan melihat ISA sebagai isu besar, sebaliknya akan membuat keputusan berdasarkan dasar dan tawaran parti politik terutamanya tentang ekonomi.

“ISA, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ini saya rasa hanya segelintir masyarakat yang memperjuangkan,” katanya.

Jelas penganalisis ini masyarakat menekankan soal ekonomi. Jadi katanya, isu ISA tidak akan memberi satu impak yang terlalu besar kerana masyarakat tidak dibelenggu dengan akta-akta ini.

“Banyak lagi isu lain yang mereka penting... lagipun sukar untuk mempolitikkan isu ISA ini,” katanya.

Pun begitu memang sukar untuk melihat aliran sokongan pengundi setakat ini kerana rakyat masih menantikan dua akta baru yang akan digubal menggantikan ISA.

“Setakat ini yang saya nampak di kalangan parti pembangkang agar reda sedikit sebab isu ISA ini agak besar bagi pembangkang tapi di kalangan orang ramai belum lagi sebab mereka masih menunggu dua akta itu dan kita tidak pasti ia beri kesan lebih baik atau yang bagaimana,” kata Prof Dr Ahmad Atory Hussain.

Beliau menegaskan ISA bukan isu pilihan raya dan keadaan sukar untuk Pakatan Rakyat apabila Putrajaya membuat keputusan untuk memansuhkan akta itu.

“Ia (ISA) bukan penentu besar, soalnya sekarang kita bercerita tentang keamanan dan keadilan, tidak perlu kaitkan dengan pilihan raya sebab ISA ini tentang keadilan,” katanya.

Pokoknya, memang pemansuhan ISA bukan isu besar atau modal politik dalam pilihan raya. Tetapi, ia tetap akan menjadi modal politik jika dilihat bila pilihan raya umum ke-13 dipanggil. Sebelum atau selepas janji pembaharuan undang-undang ditunaikan.

Tiada ulasan: