Rabu, 5 November 2008

Tiada cadangan wujud jawatan Mufti Negara

BERNAMA


Kerajaan belum berhasrat untuk mewujudkan jawatan Mufti Negara atau mufti bertaraf nasional ataupun kebangsaan buat masa ini, demikian persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jawatan itu, bagaimanapun, akan diwujudkan jika terdapat keperluan kepada negara satu hari nanti.

"Saranan untuk mewujudkan Mufti Negara di peringkat kebangsaan memang pernah disarankan di dalam dewan serta dinyatakan di dalam beberapa media. Jika timbul keperluan satu hari nanti atau ada kerjasama daripada semua pihak dan diluluskan oleh Raja-Raja Melayu saya tidak nampak mengapa jawatan itu tidak boleh diwujudkan kalau ada kemunasabahannya," katanya menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) di sini.

Mengenai usaha mewujudkan sebuah institusi bebas atau Darul Ifta' bagi mengkaji serta menilai fatwa, Ahmad Zahid berkata kelulusan sudah diperolehi bagi penubuhan institusi itu.

"Darul Ifta' ini adalah satu institusi bebas yang akan mengkaji, menilai dan meneliti fatwa berdasarkan kepada sumber-sumber hukum ataupun kes-kes terbaru yang wujud antara negara-negara Islam yang lain terutamanya keputusan yang dibuat dan dipersidangkan menteri MABIM (Menteri-menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura).

"InsyaAllah dalam waktu yang terdekat Darul Ifta' ini akan dapat ditubuhkan sebagai sebuah institusi kajian terhadap fatwa di Malaysia," katanya.

Beliau berkata Majlis Fatwa Kebangsaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat dengan cepat mengenai sesuatu permasalahan berkaitan fatwa sama ada dalam soal kewangan, perniagaan ataupun perkahwinan.

"Kita juga telah menerbitkan keputusan fatwa kebangsaan pelbagai siri untuk beberapa perkara yang terbaru umpamanya aqiqah mengenai rusa," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Ahmad Zahid berkata pengeluaran fatwa yang diamalkan di Malaysia adalah melalui tiga kaedah iaitu arahan Mesyuarat Majlis Raja-raja, permohonan atau pertanyaan daripada masyarakat awam dan kajian oleh Bahagian Penyelidikan Jakim.

Beliau berkata fatwa yang diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri-negeri.

"Fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah itu atas arahan Mesyuarat Majlis Raja-raja tidak boleh dipinda dan akan diwartakan oleh negeri, manakala bagi fatwa selain daripada arahan Mesyuarat Majlis Raja-raja, negeri boleh meminda keputusan tersebut atau menerimanya tanpa pindaan, seterusnya dilakukan proses pewartaan fatwa di peringkat negeri," katanya.

Tiada ulasan: