Isnin, 3 November 2008

Lebih 20 mohon isi jawatan Pengurus Besar PKNS

BERNAMA


KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah menerima lebih dari 20 permohonan bagi jawatan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini dipangku oleh Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun perbadanan itu, Low Siew Moi.

Permohonan itu dari kalangan Bumiputera profesional dan pegawai-pegawai kanan PKNS dan anak syarikatnya, kata Abdul Khalid pada sidang media sempena Majlis Konvokesyen Ketiga Universiti Industri Selangor (UNISEL) di Bestari Jaya di sini.

Khalid berkata, kini tiba masanya "kita memilih orang yang terbaik bagi mengurus PKNS demi memastikan ia mampu membawa pulangan hasil terbaik kepada perbadanan dan memartabatkan penyertaan Bumiputera dalam bidang pembinaan dan perniagaan." Namun, beliau berkata jika 99 peratus daripada kakitangan PKNS bersungguh-sungguh mahu membangunkan kaum Bumiputera dalam perniagaan sebelum ini, kehebohan pemangkuan jawatan Pengurus Besar itu tidak akan timbul.

Pemangkuan jawatan itu oleh bukan Bumiputera mencetuskan bantahan di kalangan kakitangan PKNS sendiri yang mendakwa ia bertentangan dengan visi PKNS untuk memartabatkan masyarakat Bumiputera dalam ekonomi.

Khalid mempertahankan pelantikan itu dengan berkata, sementara mendapatkan calon Bumiputera yang layak, Low yang telah berkhidmat di PKNS selama 35 tahun dipilih memangku jawatan itu untuk tempoh setahun.

Dalam pada itu, kira-kira 30 anggota Pemuda Umno mengadakan demonstrasi aman di pintu masuk Plaza Tol Kajang di sini semalam sebagai membantah tindakan kerajaan negeri Selangor melantik Low sebagai Pemangku Pengurus PKNS.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd. Sakaruddin Che Mood ketika dihubungi berkata, demonstrasi itu bermula kira-kira 10 pagi dan mereka bersurai kira-kira dua jam kemudian.

Beliau berkata, tiada tangkapan dilakukan dan menurutnya sebanyak 15 anggota polis ditempatkan di sekitar kawasan tol itu bagi mengawal keadaan.

Isnin lepas, Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Low, yang sepatutnya bersara tahun ini, sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS untuk tempoh setahun bagi mengambil alih tugas Pengurus Besar PKNS Datuk Harun Salim yang akan bersara hujung bulan ini.

Berikutan keputusan itu, enam persatuan kakitangan PKNS menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid mendesaknya menarik balik pelantikan Low kerana dikatakan tidak memenuhi aspirasi penubuhan PKNS bagi membantu meningkatkan sosial dan ekonomi Bumiputera.

Tiada ulasan: