Khamis, 20 November 2008

Calon timbalan, naib disiasat

Oleh Anwar Hussin


KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Umno mula menyiasat aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan calon yang bertanding jawatan timbalan presiden dan naib presiden pada pemilihan parti, Mac depan.

Calon terbabit dikatakan sudah dikenal pasti dan lembaga itu kini sedang mengumpul maklumat serta bukti berkaitan aduan berkenaan.

Menurut sumber, siasatan perlu dilakukan secara terperinci sebelum calon terbabit dipanggil memberi keterangan.

“Jika calon terbabit didapati bersalah, mereka akan hilang hak untuk bertanding atau jika menang, kemenangan mereka boleh dibatalkan,” katanya kepada Berita Harian.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail ketika dihubungi semalam mengesahkan siasatan membabitkan calon pada peringkat tertinggi parti itu sudah dimulakan, tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu siasatan kes berkaitan kesalahan politik wang dipercepatkan supaya calon jawatan tertinggi yang terbabit, tidak boleh bertanding pada Mac depan.

Perdana Menteri menekankan perkara itu dalam pertemuan dengan Tengku Ahmad Rithauddeen, baru-baru ini.

Sumber itu mengesahkan Lembaga Disiplin menerima banyak aduan berhubung tindakan calon peringkat tertinggi melanggar etika pemilihan parti, termasuk menggunakan ramai pengurus, perayu dan pelobi bagi men-dapatkan pencalonan.

Selepas 186 bahagian selesai mengadakan mesyuarat, 9 November lalu, perebutan jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendapat 92 pencalonan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (48) dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib (45).

Lapan calon pula layak bertanding Naib Presiden, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memperoleh 148 pencalonan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (103), Datuk Seri Shafie Apdal (82), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (70), Datuk Seri Syed Hamid Albar (32), Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (27), Tan Sri Isa Samad (26) dan Datuk Seri Dr Rais Yatim (26).

Sementara itu, Muhammad ketika dihubungi meminta semua pihak menyerahkan kepada Lembaga Disiplin melakukan siasatan berkenaan.

“Berilah peluang kepada Lembaga Disiplin melakukan siasatan dengan teliti. Ini untuk kepentingan Umno juga,” katanya sambil menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi kerjasama kepada Lembaga Disiplin jika diminta berbuat demikian.

Ahmad Zahid pula berkata, siasatan itu haruslah dilakukan secara telus supaya tidak ada pihak teraniaya.

“Siasatan juga perlu adil supaya tiada calon akan dianggap terlepas daripada dikenakan tindakan,” katanya.

Tiada ulasan: