Sabtu, 6 September 2008

Pegawai SPP Sarawak dihadap ke Mahkamah Sesyen kerana rasuah
BERNAMA


KUCHING: Seorang Ketua Pegawai Tadbir, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia Cawangan Sarawak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebagai upah menguruskan permohonan pencen terbitan.

Ali Noruddin Boying, 48, yang mengaku tidak bersalah, didakwa meminta wang tunai sebanyak RM6,000 daripada pengadu, Nor Fazilah Fauziah di Bandar Baru Semariang, di sini pada 5 Mei tahun lalu bagi menguruskan permohonan pencen terbitan arwah ibu angkat Nor Fazilah.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima wang sebanyak RM3,000 daripada pengadu sama sebagai upah menguruskan permohonan bagi tujuan sama pada 11 Mei tahun lepas di Satok, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 a(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama dan jika disabit kesalahan, seseorang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana lebih tinggi.

Hakim Amelati Parnell membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan mahkamah RM10,000 dan menetapkan 2 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR) Muhammad Sinti manakala pembelaan tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Mohamad Hazmi.

Tiada ulasan: