Waktu
operasi pasar awam yang terbatas dan sekatan trafik di jalan raya
sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) didakwa telah menimbulkan
kesan rantaian negatif terhadap bekalan sayur dan makanan mentah di
pasaran.
Disebabkan pelbagai kekangan dan syarat yang dikenakan
oleh pihak berkuasa, ramai penjual sayur dan pemandu lori sayur mengadu
mereka sanggup menghentikan perkhidmatan bagi mengelakkan kesulitan
ini.
Pasar Borong Kuala Lumpur antaranya pasar yang terkesan sekali.
Menurut
Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur Wong Keng Fatt, anggaran 50
peratus gerai sayur akan tutup setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) mengeluarkan perintah bahawa hanya dua pekerja asing dibenarkan
sewaktu pasar beroperasi.
Kata Wong, pasar tersebut mempunyai sebanyak 448 gerai dan merupakan pusat pengedaran sayur utama di ibu kota.
Seramai
lebih kurang 5000 orang akan bekerja di pasar borong itu pada hari
biasa dan kini hanya tidak sampai 1000 orang setelah sekatan dilakukan
oleh pihak berkuasa, kata Wong kepada
Malaysiakini.
'Nyawa lagi penting dari niaga'
Bagaimanapun,
80 peratus gerai sayur bergantung kepada pekerja asing, maka banyak
gerai akan tutup mulai esok kerana kekurangan pekerja.
“Ramai ahli
saya yang mengadu, dulu satu gerai tujuh lapan orang kerja, sekarang
hanya benar dua orang, susah. Tidak cukup orang untuk angkat sayur dari
lori,” katanya.
Di bawah PKP, Wong berkata lebih kurang 40 peratus
pasar di Kuala Lumpur sudah tutup namun bekalan sayur masih mencukupi
sehingga menyebabkan bekalan terlalu banyak dan hampir 30 peratus sayur
dibuang setiap hari di pasar borong.
Namun pasar borong tetap akan
beroperasi walaupun peniaga menghadapi kerugian yang besar kerana ini
adalah tanggungjawab sosial persatuan beliau, tegas Wong.
“Tidak
dapat niaga perkara kecil, nyawa manusia paling penting. Sekarang wabak
Covid-19 begitu serius, kami mesti bekerjasama dengan kerajaan dan duduk
di rumah semana yang boleh.
“Bagaimanapun, disebabkan banyak
peraturan dan syarat dikenakan, ramai tidak dapat sesuaikan diri maka
adalah yang mengadu sikit. Tapi semua boleh faham, ini kan kebaikan
untuk semua,” ulas Wong.
Bagi
mematuhi peraturan baru DBKL, persatuan pemborong sayur turut
mengeluarkan memo pemberitahuan kepada ahli bahawa semua gerai hanya
dibenarkan dua pekerja asing dan harus berpakaian baju hijau dan jaket,
manakala tiada had untuk bilangan pekerja tempatan.
Tempoh
beroperasi pula bermula dari jam 10 pagi hingga 7 malam, dan dari 12
tengah malam hingga 7 pagi. Operasi di luar waktu adalah dilarang sama
sekali.
Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Pertanian Cameron Highlands
Chai Yee Meng memberitahu bahawa isu buang sayur hanya satu permulaan
dan ramai yang risau keadaan akan bertambah teruk.
“Isu ini belum
menyeluruh lagi... kerana sekatan pergerakan itu menjadikan permintaan
sayur kurang, sebab orang sudah kurang keluar rumah.
“Lori nak
hantar barang pun susah... bawa satu orang dengan barang banyak, lepas
itu ada sekatan jalan raya lagi, susah,” tambahnya.
Menurut
Chai, peraturan yang menghadkan bilangan pekerja di pasar borong
menyebabkan keadaan barang bertimbun tersadai kerana tidak cukup pekerja
untuk memunggah sayuran.
"Tapi isu itu sudah
settle DBKL kata, jadi okay la tiada masalah lain. Cuma takut nanti makin hari makin susah,” keluhnya.
Walau
bagaimanapun, seorang penghantar sayur di Cameron Highlands yang enggan
dinamakan mengadu beratus-ratus tan sayur terpaksa dibuang disebabkan
gerai pasar tutup.
Katanya, lebih 100 lori membawa sayur ke pasar
borong Kuala Lumpur setiap hari dan lebih 10 tan sayur yang dibawa oleh
setiap lori.
Disebabkan banyak pasar sudah tutup, penghantar sayur itu berkata perkhidmatan lori juga terpaksa dihentikan.
Ini, jelasnya menyebabkan beratus-ratus tan sayur ditinggalkan dan dibuang di Cameron Highlands.
“Kami
pernah berfikir untuk bagi sayur secara percuma, tapi hal ini akan
menyebabkan orang ramai datang berebut-rebut berkerumun dan berhimpun
beramai-ramai, maka kami terpaksa buang sayur begitu sahaja.
“Sayur itu barang mentah, tidak tahan lama punya. Simpan pun tak guna," katanya lagi.
Banyak video turut tular di media sosial yang mengadu bahawa kekurangan pekerja untuk memunggah sayur dari lori.
Pengerusi
Persatuan Tuan Empunya Kenderaan Sayur-sayuran Cameron Highlands Kwang
Ee Fu pula berkata, lori sayur termasuk dalam senarai perkhidmatan
keperluan, masih boleh berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun,
sekatan jalan raya dan pelbagai soalan yang diajukan petugas
keselamatan, menyebabkan ramai pemandu lori berasa cemas dan gelisah.
“Kebanyakan
masa mereka ditahan oleh polis dan banyak soalan ditanya.
Kemudian nak
kami tunjukkan permit dan surat syarikat, akhir masih bagi jalan juga.
“Cuma masalah hari ini berlaku di pasar borong. Lori sudah sampai tapi tidak bagi masuk.
“Semuanya
masalah teknikal lah. Harap DBKL dan polis boleh selesai dengan lebih
baik sikit. Kami pun faham usaha yang dilakukan oleh kerajaan," katanya.
Petani
Cameron Highlands, Ng Tien Khuan pula memberitahu bahawa sudah ada
gerai sayur di pasar borong yang memesan supaya jangan hantar sayur
setakat ini.
Bekalan ke pasar borong berkurang
Menurutnya, bekalan kepada pasaraya masih berterusan tetapi permintaan sayur berkurang mendadak bagi pengusaha pasar awam.
“Sayur
adalah bekalan harian. Seandainya berhenti sehari, maka akan ada banyak
sayur yang terkumpul pada keesokan hari dan menyebabkan bekalan
berlebihan.
“Bagaimanapun, bekalan sayur di pasar borong
berkurang, akan menyebabkan bekalan kepada pasar kecil pun kurang dan
akhirnya pembeli-pembeli menghadapi masalah untuk mendapatkan sayur,”
tambahnya.
Sementara itu, Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong (
gambar, bawah) mengesyorkan agensi pertanian untuk mengumpul hasil pertanian yang berlebihan di Cameron Highlands.
Gangguan
terhadap perkhidmatan logistik khususnya bekalan sayur-sayuran dari
Cameron Highlands oleh pelbagai faktor kemungkinan besar akan
mengakibatkan bekalan makanan yang tidak stabil, katanya dalam kenyataan
hari ini.
Wakil rakyat DAP itu turut memberikan dua cadangan
kepada kerajaan berkata, "memandangkan hasil pertanian adalah bekalan
makanan yang boleh digunakan sepenuhnya untuk kebaikan masyarakat."
"Pertama,
agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)
di setiap kawasan pertanian untuk mengangkat dan mengumpul hasil
pertanian yang berlebihan dan tidak dapat dijual di pasaran.
"Kedua,
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) boleh menyelaraskan
agensi-agensi kerajaan bagi mengedarkan hasil pertanian yang dikumpul
kepada golongan yang memerlukan.
"Saya dengan ikhlasnya berharap
agar pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perdana Menteri
(Muhyiddin Yassin) akan memberi pertimbangan terhadap cadangan di atas,”
kata Chiong.
Awal pagi ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, polis akan memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) agar
mengehadkan waktu operasi Pasar Borong Kuala Lumpur bagi mengawal jarak dan pergerakan orang ramai.
Menurut beliau, cadangan itu merupakan satu daripada usaha-usaha untuk merendahkan potensi jangkitan wabak Covid-19.