Sabtu, 10 Oktober 2020

Sekali lagi Orang Asli Bateq lari di hutan elak Covid-19

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Penduduk Kampung Orang Asli Bateq di Kuala Koh, Kelantan sekali lagi lari ke hutan untuk berlindung daripada wabak Covid-19.

Menurut New Straits Times, ia kali kesepuluh mereka terpaksa berbuat demikian sejak wabak tersebut mula menular.

Kali ini kira-kira 300 penduduk kampung mengambil keputusan untuk meninggalkan kampung mereka empat hari lalu apabila mendapat berita tentang peningkatan kes Covid-19, kata laporan itu.

Menurut seorang penduduk, Papan Majid, 47, kematian 15 orang di kampung itu gara-gara wabak demam campak setahun lalu masih segar di ingatan, menambahkan lagi rasa gerun di hati mereka.

Papan sendiri kehilangan dua anak perempuan akibat wabak itu. Secara keseluruhan, sejumlah 112 penduduk kampung menerima rawatan ketika itu.

“Kami selalu pindah ke hutan sejak wabak Covid-19 bermula pada 18 Mac kerana (wabak demam campak) itu selalu bermain di fikiran kami, dan kami hanya akan pulang ke rumah dua minggu sekali.

“Dalam tujuh bulan kebelakangan ini, sejak wabak ini bermula, hidup kami tidak tenang dan bimbang (kalau) kami terdedah dengan virus itu,” katanya seperti dipetik.

Laporan itu turut memetik Pikas Langsat, 35, yang berkata hutan mampu menyediakan perlindungan kepada mereka.

“Kami rasa dilindungi daripada wabak apabila tinggal dalam hutan, dan kami pindah ke kawasan lain selepas dua minggu,” kata Pikas.

Pada April lalu, kru berita TV9 menemani sejumlah sukarelawan yang mahu mengagihkan bekalan makanan dan barang keperluan kepada penduduk kampung ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Bagaimanapun, mereka mendapati kampung itu kosong. 

LIHAT FB DI SINI

Tiada ulasan: