Khamis, 15 Oktober 2020

Polis nafi Anwar ke Bukit Aman hari ini

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pihaknya 
tidak mempunyai pengesahan tarikh baharu untuk memanggil Anwar.

KUALA LUMPUR: Polis masih belum memuktamadkan tarikh untuk mengambil keterangan ketua pembangkang Anwar Ibrahim berhubung kes penyebaran senarai nama 121 Ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan baharu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed berkata pihaknya tidak mempunyai pengesahan tarikh baharu untuk memanggil Anwar.

“Bukan esok (Anwar) dipanggil,” katanya ringkas kepada Bernama.

Semalam, tular di aplikasi WhatsApp bahawa Anwar dipanggil ke Bukit Aman pada 3 petang hari ini untuk memberi keterangan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan janji temu Anwar dengan Bukit Aman yang dijadualkan pada 13 Okt lepas ditangguh ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.

Pada hari sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara bagi menyampaikan pernyataan yang beliau mempunyai majoriti di Parlimen untuk dilantik selaku perdana menteri Ke-9.

Pada 23 Sept lepas, Anwar dalam satu sidang media mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Tiada ulasan: