PETALING JAYA: Industri perkahwinan antara yang terjejas teruk berikutan keputusan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain beberapa lokasi lain.
Presiden Persatuan Profesional Perkahwinan (AWP) Leticia Hsu berkata, industri itu baru sahaja hendak pulih memandangkan pada Mac lalu ia turut terkesan dengan keputusan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Sejak PKP semua mula bangkit sedikit demi sedikit. Tempahan juga sudah mula masuk walaupun lambat kerana banyak bakal pengantin ambil sikap tunggu dan lihat atau menangguhkan sehingga ke tahun depan.
“Selain jurugambar, jurusolek juga bergelut untuk mencari dan mendapatkan pelanggan. Mereka ini juga ambil tawaran kerja secara kecil-kecilan, kerana sekurang-kurangnya ada juga harapan untuk mencari sumber pendapatan.
“Tetapi dengan situasi sekarang ini, semuanya kecewa lagi. Ramai pasangan sudah ambil keputusan untuk tangguhkan lagi majlis perkahwinan. Ada juga yang buat kecil-kecilan di rumah dan ada yang langsung tidak buat majlis,” katanya kepada FMT.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan PKPB berkuatkuasa 12.01 malam 14 Oktober hingga 27 Oktober ini. Perintah itu turut dikuatkuasakan di Sabah.
Selain tidak membenarkan pergerakan rentas daerah, masjid dan rumah ibadat bukan Islam turut ditutup. Majlis perkahwinan juga antara aktiviti sosial dan budaya yang tidak dibenarkan.
Leticia berkata, beliau sendiri menjangkakan 50% daripada pengusaha majlis perkahwinan akan gulung tikar bermula tahun depan, memandangkan kebanyakan mereka sudah tidak mampu lagi bertahan dalam perniagaan.
“Saya sendiri tidak tahu sama ada pengusaha majlis perkahwinan dapat bertahan atau tidak. Ini kerana ada sesetengah mereka sudah tidak dapat bertahan.
“Hal ini kerana 50% pengusaha majlis perkahwinan sudah kehilangan pelanggan dan kes Covid-19 juga masih tidak turun,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan menurut Leticia, bank komersial juga ketika ini tidak lagi menawarkan sebarang pinjaman kewangan kepada pengusaha majlis perkahwinan, walaupun sebelum ini ia diberikan kepada syarikat mempunyai profil perniagaan yang baik.
“Saya sendiri cuba memohon pinjaman di bank komersial, tetapi seolah-olah industri perkahwinan ini disenarai hitam.
“Walaupun kita ada kredit yang baik dengan bank, bayar sewa tepat masa, bayar cukai pendapatan dan lain-lain.
“Jika tidak dapat buat pinjaman, bagaimana untuk untuk sewa premis dan bagaimana untuk kekalkan perniagaan ini. Ada juga pengusaha majlis perkahwinan lain sudah beralih arah, mereka menjual durian dan ada yang jual mi udang,” katanya.
Menurut Leticia, beliau ketika ini hanya berharap supaya kes melibatkan Covid-19 segera menurun dan turut berharap Putrajaya memberikan bantuan secara khusus kepada pengusaha industri perkahwinan yang terjejas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan