PANDUANKINI | Kerajaan hari ini mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan gelombang ketiga wabak Covid-19.
PKPB akan berkuat kuasa di Sabah mulai tengah malam ini (13 Okt) manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berkuat kuasa pada tengah malam 14 Okt.
Tempoh penguatkuasaan akan berlangsung selama dua minggu (sehingga 26 Oktober untuk Sabah dan 27 Okt di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya).
Panduan ini akan membantu menjelaskan apa yang anda boleh dan tidak boleh lakukan di bawah PKPB.
Adalah dimaklumkan bahawa kerajaan masih memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) bagi PKPB dan panduan ini akan dikemas kini apabila terdapat lebih banyak maklumat.
Apa itu PKPB?
Pengutakuasaan ini serupa dengan yang dikenakan ke atas negara ini dari 4 Mei hingga 9 Jun lalu.
Untuk rekod, negara ini pertama kali melaksanakan perintah kawalan pergerakan atau disebut "PKP" pada 18 Mac, di mana kebanyakan perniagaan ditutup dan hanya seorang dari setiap isi rumah dibenarkan meninggalkan rumah untuk mendapatkan bekalan makanan.
Ketika keadaan Covid-19 bertambah baik, negara ini beralih kepada PKPB, di mana kegiatan ekonomi disambung semula dengan syarat yang ketat tetapi aktiviti riadah masih dilarang.
Sebilangan besar sekatan ditarik balik ketika negara ini mulai beralih kepada PKP Pemulihan dari 10 Jun dan fasa ini sepatutnya berlangsung sehingga akhir tahun ini.
Mengapa kita kembali kepada PKPB sekarang?
Ringkasnya, kita sekarang berada dalam keadaan yang jauh lebih buruk daripada ketika gelombang Covid-19 kedua yang dicetuskan oleh perhimpunan tabligh pada Mac lalu.
Gelombang ketiga ini bermula pada bulan September ketika pendatang tanpa izin menyebarkan virus berkenaan di Penjara Tawau dan kemudian menular di kalangan masyarakat.
Penyebaran virus itu dipercepatkan oleh pilihan raya Sabah yang berakhir pada 26 September.
Mereka yang datang berkempen dan pelawat yang mengunjungi Sabah kemudian membawa virus itu pulang ke negeri masing-masing.
Kemuncak gelombang kedua berlaku apabila 277 kes baru direkodkan pada 4 Jun dengan kebanyakannya terdiri daripada warga asing yang ditahan di pusat tahanan.
Pada gelombang ketiga ini, jumlah kes tertinggi adalah pada 6 Oktober dengan 691 kes baru, yang kebanyakannya adalah rakyat Malaysia dan kebanyakan berada dalam kelompok masyarakat.
Setiap hari, kes baru juga merekodkan angka yang tinggi.
Semasa gelombang kedua, pesakit Covid-19 yang paling banyak dirawat di negara ini adalah pada 9 April dengan 2,552 orang pesakit.
Pada gelombang ketiga, negara ini mencatat rekod tertinggi yang baru setiap hari dengan 5,039 pesakit Covid-19 dirawat pada hari ini (12 Okt). Sekiranya jumlah ini terus meningkat, hospital-hospital kita akan terbeban dan angka kematian akan meningkat secara mendadak.
Angkatan Tentera Malaysia juga sudah mengaktifkan hospital medan di Sabah, sesuatu yang biasanya dilihat pada masa perang.
Bolehkah saya keluar rumah?
Hanya dua orang dari setiap isi rumah dibenarkan keluar daripada rumah.
Ini hanya dibolehkan untuk urusan kerja, kecemasan dan perkara penting seperti membeli barang keperluan seperti makanan dan bahan mentah.
Sejauh mana saya boleh bergerak?
Perjalanan rentas daerah tidak dibenarkan. Polis akan membuat sekatan jalan untuk mengawal pergerakan.
Di Selangor, misalnya, terdapat sembilan daerah - iaitu Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabah Bernam dan Sepang. Anda harus kekal berada di daerah anda.
Bolehkah saya pergi bekerja?
Sebilangan besar perniagaan masih beroperasi seperti biasa. Hanya beberapa sektor akan ditutup, seperti institusi pendidikan dan pusat hiburan.
Bolehkah saya pergi bekerja sekiranya pejabat saya di daerah lain?
Pengecualian dibuat untuk individu yang perlu melakukan perjalanan rentas daerah untuk bekerja, dengan syarat mereka menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan mereka di sekatan jalan raya.
Bolehkah saya menghantar anak-anak saya ke sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak?
Tidak. Semua sekolah, kolej, universiti, institut latihan dan pusat jagaan kanak-kanak akan ditutup.
Saya belajar di sekolah swasta dan menduduki peperiksaan Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE), apa yang perlu saya lakukan?
Perintah penutupan berkuatkuasa untuk sekolah kerajaan dan swasta. Tanya kepada pihak sekolah anda tentang bagaimana menyelesaikan isu peperiksaan anda.
Bolehkah saya makan di restoran?
Tidak, makan dalam restoran tidak dibenarkan lagi. Restoran masih dibenarkan dibuka tetapi hanya boleh dibeli untuk dibawa pulang dan bagi tujuan penghantaran makanan.
Adakah sekatan masa dikenakan untuk saya melakukan perjalanan dan operasi perniagaan?
Ya. Perincian akan diumumkan tidak lama lagi. Perkara ini akan dikemas kini apabila maklumat diperolehi.
Bolehkah saya beriadah di taman?
Tidak. Semua taman awam dan pusat rekreasi akan ditutup.
Anda juga tidak dibenarkan keluar untuk aktiviti rekreasi seperti bersenam atau menunggang basikal.
Bagaimana jika saya enggan?
Ia melanggar Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan boleh dikenakan denda RM1,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Lebih buruk lagi, jika anda menghalang penjawat awam yang melaksanakan PKPB, anda boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Penjawat awam tidak hanya terhad kepada polis dan merangkumi penjawat awam pelbagai agensi kerajaan termasuk pegawai majlis perbandaran.
Bolehkah saya berkaraoke di pusat karaoke?
Tidak, premis hiburan tidak dibenarkan dibuka.
Saya mempunyai majlis perkahwinan untuk dihadiri, adakah ia dibenarkan?
Tidak, majlis perkahwinan tidak dibenarkan.
Bagaimana dengan tempat ibadat?
Semua tempat ibadah - Muslim dan bukan Muslim - akan ditutup.
* Kompilasi Panduankini ini disediakan oleh NIGEL AW
Tiada ulasan:
Catat Ulasan