Masih
ada orang-orang yang tidak sihat terus galak mempersoalkan kesetiaan
Annuar Musa kepada UMNO, kepada BN dan kepada kepimpinannya. Masih ada
yang menganggap Setiausaha Agung Barisan Nasional itu lebih cenderung
mempertahankan PPBM (BERSATU) dalam keadaan di mana dia sepatutnya
melebihkan partinya sendiri.
Lebih galak lagi dua hari kebelakangan ini kenyataan lama Annuar Musa dikitar semula demi mencalarkan imej beliau.
Saya
katakan mereka tidak sihat kerana saya beranggapan mereka tidak
rasional. Tidak melihat, atau tidak mahu melihat segala sesuatu dalam
kerangka yang lebih luas. Mereka terhimpit dan dihimpit oleh emosi.
Atau
barangkali mereka sebenarnya takut pada bayang-bayang Annuar. Boleh
jadi juga mereka cemburu dan dengki. Mungkin ada di kalangan mereka itu
yang merindui kerusi yang terlepas dari tangan semasa PRU ke-14 dahulu.
Atau mungkin juga ada yang siang malam
bermimpi hendak kembali ke kerusi menteri, yang pernah diduduki puluhan
tahun, tetapi kini tiada siapa lagi yang sudi melantiknya ke situ.
Jadi untuk melepaskan perasaan, mereka mencari sasaran. Kebetulan Annuar ada ‘isu’, maka dialah yang mereka sasarkan.
Apa ‘isu’ Annuar?
Tidak,
ia bukanlah kerana dia menderhaka kepada presiden. Tidak juga kerana
dia menderhakai parti. Dan tentulah bukan sekali-kali kerana dia
berpakat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di belakang tabir untuk
menjatuhkan kerajaan sedia ada. Kerajaan yang bukan dipilih oleh
pengundi, tetapi sekurang-kurangnya setakat ini, cukup disenangi rakyat.
Yang
dijadikan isu adalah tindakan Annuar Musa yang bersungguh-sungguh
mempertahankan kemuafakatan antara Muafakat Nasional (MN) dengan
Perikatan Nasional (PN). Yang menimbulkan marah orang-orang yang saya
anggap sakit tadi adalah kerana tegarnya Ahli Parlimen Ketereh itu
membentengi kerajaan yang ada sekarang.
Bagi orang-orang yang tidak rasional,
melakukan perkara-perkara yang betul adalah suatu kesalahan; sebaliknya
kalau melakukan perkara-perkara yang tidak betul seperti membuat bising
di media massa atau media sosial, mengutuk dan mengata sama ada lawan
atau kawan, akan mereka anggap sebagai tindakan berani dan terpuji.
Saya
antara ahli UMNO yang telah lama menyimpan impian untuk melihat
parti-parti Melayu/Islam duduk semeja, bergabung dan sama-sama berjuang
dengan matlamat yang satu; mengangkat martabat agama dan bangsa yang
telah sekian lama dipandang lekeh kerana hidup berpecah-belah.
Sebab
itulah apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang dan kerajaan PN ditubuhkan,
saya yakin bahawa saya merupakan antara orang Melayu/Islam yang paling
gembira. Sejak itulah saya bertekad akan mempertahankan kerajaan ini
dengan apa yang mampu, dan tanpa menggadai kesetiaan saya kepada UMNO
dan BN.
Atas sebab yang sama jugalah saya
berasa teruja apabila melihat pemimpin-pemimpin Melayu/Islam dari
platform yang berbeza menampakkan kesungguhan mempertahankan
permuafakatan yang membawa kepada tertubuhnya kerajaan PN.
Annuar salah seorang daripada mereka. Sebab
itulah apabila ada pihak menyerangnya hanya kerana dia mempertahankan
semangat ukhwah dalam PN, saya terpanggil untuk mempertahankannya.
Orang
yang memperkecilkan kesetiaan Annuar kepada parti semata-mata
disebabkan dia mempertahankan MN dan PN, sesungguhnya patut melihat
sejarah politik SUA BN itu secara dekat. Saya yakin di situ mereka akan
dapat menilai sendiri betapa besar kesetiaan Annuar kepada ketua dan
parti.
Ahli-ahli UMNO yang berumur akhir 50-an
dan yang mengambil berat tentang parti tentu masih ingat bagaimana
kira-kira 38 tahun dahulu seorang anak muda, yang mewakili Kelab UMNO di
luar negara, telah memukau persidangan agung UMNO Malaysia – jika tidak
silap diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur – dengan kepetahan,
kelantangan dan kebernasannya berhujah semasa membahaskan amanat
presiden. Anak muda itu ialah Annuar bin Musa, pelajar di Universiti
College London.
Ramai yang tahu bahawa orang
yang membawa Annuar ke gelanggang politik ialah Tengku Razaleigh Hamzah,
yang bukan sahaja tokoh nombor satu UMNO Kelantan tetapi juga nama yang
sangat besar dalam UMNO pusat dan saingan paling digeruni oleh presiden
UMNO dan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
(Tun).
Walaupun rapat dengan Ku Li, tetapi bila
anak raja Kelantan itu bertanding melawan Mahathir bagi merebut kerusi
presiden UMNO, Annuar memihak kepada Mahathir kerana prinsipnya adalah
setia kepada parti dan setia kepada pemimpin.
Apabila Ku Li menubuhkan Parti Semangat 46,
Annuar tidak ikut menyertainya. Dia kekal bersama UMNO sambil terus
berpegang pada prinsip-prinsip kesetiaan kepada parti. Prinsip yang sama
tidak pernah lekang dari hidupnya. Dia pernah kalah tiga kali dalam
PRU, kali pertama di Parlimen Peringat di tangan ayam tambatan PAS,
Mohamad Sabu (sekarang presiden Amanah), kali kedua dan ketiga di
Parlimen Ketereh di tangan calon PKR.
Tetapi
kekalahan-kekalahan itu tidak menggugat kesetiaan Annuar kepada parti.
Dia tidak menjadikan dirinya ‘katak’. Kalah atau menang dia tetap
berdiri terpacak bersama parti yang disertai sejak tahun 1979 itu.
Apabila
Datuk Seri Najib diserang teruk dengan pelbagai isu sejak sebelum PRU
ke-13, dan kemudian berterusan sehingga PRU 14, Annuar merupakan antara
orang yang bermati-matian mempertahankan perdana menteri keenam itu. Dia
antara panglima UMNO yang berada di barisan hadapan bagi menangkis
serangan lawan. Dia melakukannya bukan kerana Najib secara peribadi,
tetapi kerana Najib itu perdana menterinya, dan Najib juga presiden
partinya.
Kemudian, apabila Datuk Seri Dr Zahid
Hamidi mengambil alih pucuk pimpinan parti, Annuar melakukan perkara
yang sama; menjadi perisai kepada bos baharunya itu. Sesiapa juga yang
menyerang Zahid jarang terlepas daripada menerima serangan balas Annuar.
Dengan
mengimbau kembali senario itu, maka mudah untuk kita fahami mengapa
Annuar kelihatan beria-ia mempertahankan MN dan kerajaan PN. MN itu satu
entiti yang dibentuk oleh UMNO dan PAS.
PN pula entiti berasingan, yang dibina hasil
sokongan sejumlah ahli-ahli Parlimen pelbagai parti. Antara mereka
termasuk Annuar. Turut bersama PN ialah beberapa buah parti lagi,
termasuk PAS yang merupakan rakan kongsi UMNO dan MN.
Jelaslah kerajaan PN itu bukan hak mana-mana
individu, hak mana-mana parti.Ia merupakan hak bersama, khususnya
perpaduan Melayu/Islam. Dalam PN itu bukan hanya ada saham Annuar,
tetapi saham kita semua, yang mencintai perpaduan, khususnya perpaduan
Melayu/Islam.
Jadi apabila Annuar
mempertahankan PN atau MN, ia bukanlah kerana kepentingan peribadinya,
tetapi kerana kepentingan kita bersama. Yang lebih penting sebenarnya
ialah, dia mempertahankan perpaduan Melayu/Islam yang menjadi asas
kewujudan MN dan asas pembentukan PN.
Melainkan
anda seorang yang mahu melihat Melayu/Islam berpecah belah; melainkan
anda seorang yang mengutamakan kepentingan politik peribadi lebih
daripada kepentingan bangsa dan agama, anda sepatutnya berdiri sebarisan
dengan Annuar bagi mempertahankan MN dan PN daripada musuh, sama ada
dari luar atau dari dalam; sama ada yang terang dan nyata, atau yang
berselindung di sebalik kepentingan parti walhal hakikatnya didorong
oleh kepentingan diri.
Bagi pecinta perpaduan
macam saya, kami perlukan lebih ramai pemimpin macam Annuar Musa, macam
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, macam Datuk Takiyuddin Hassan, yang
sentiasa berusaha mencari titik temu bukannya titik pemisah.
Allahuakbar!
*Hj Ehsan Khalid-Veteran UMNO Seremban, Negeri Sembilan .on
Tiada ulasan:
Catat Ulasan