KOTA KINABALU: Sebanyak 12,813 bakul makanan diagih kerajaan negeri kepada penduduk di kawasan yang dilaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, pengagihan bakul makanan itu turut membabitkan ketua isi rumah (KIR) yang sedang menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing.
“Kerajaan persekutuan juga bersetuju menyalurkan peruntukan berjumlah RM50 juta bagi membantu kerajaan negeri menangani penularan pandemik Covid-19 di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masidi yang juga menteri kewangan ke-2 berkata, kerajaan negeri amat mengharapkan semua pihak mempertingkatkan usaha dan peranan untuk memutuskan penularan jangkitan wabak itu.
“Kerajaan negeri merayu supaya semua penduduk mematuhi SOP ditetapkan Majlis
Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, semua daerah di Sabah dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) manakala kawasan di Felda Umas, Tawau dikenakan PKPD.
Dalam pada itu, Masidi berkata sebanyak 443 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah hari ini selain 4 pesakit dilaporkan meninggal dunia.
“Seramai 2,970 pesakit sedang menerima rawatan di hospital seluruh Sabah manakala sejumlah 2,054 pesakit dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan