Rabu, 14 Oktober 2020

19 polis dari IPD Cheras positif Covid-19

Ketua Polis Kuala Lumpur, Saiful Azly Kamaruddin berkata, walaupun 19 anggota 
positif Covid-19, operasi balai dan IPD Cheras tetap berjalan seperti biasa.

KUALA LUMPUR: Seramai 19 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras disahkan positif Covid-19, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Saiful Azly Kamaruddin.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata, terdapat sebahagian anggota dari IPD Cheras yang masih menunggu keputusan secara berperingkat daripada pegawai kesihatan daerah.

“Walaupun mereka (19 anggota positif Covid-19), operasi balai dan IPD Cheras tetap berjalan seperti biasa dan mengamalkan SOP yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19,” katanya kepada Bernama semalam.

Dalam perkembangan berasingan, Saiful Azly berkata, 29 sekatan jalan dilakukan di sekitar ibu negara dan Putrajaya, susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) mulai hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPK di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai tengah malam tadi sehingga 27 Okt ini.

Keputusan itu dicapai pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 di beberapa daerah.

Tiada ulasan: