Sabtu, 17 Oktober 2020

Jika Tun M enggan minta maaf, carilah saya di Padang Mahsyar – Najib

MGF10102020_TEMUBUAL-EKSLUSIF-DS-NAJIB13-681x454
Temubual Eksklusif bersama Bekas Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR- Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan jelas mengatakan beliau tidak akan memaafkan Datuk Seri Najib Razak namun Ahli Parlimen Pekan itu berjiwa besar dengan menyatakan kesediaan memaafkannya.

Menurut Najib, ajaran agama Islam yang dianutinya menggalakkan setiap insan untuk saling memaafkan antara satu sama lain.

Dengan itu, memaafkan Mahathir bukan sesuatu yang mustahil  baginya, meskipun pelbagai tohmahan telah dilemparkan kepada beliau dan keluarga oleh Ahli Parlimen Langkawi itu sejak beberapa tahun lalu.

“Pada amalan agama saya, memaafkan itu adalah tuntutan agama. Malah Allah SWT sendiri Maha Pengampun dan ada banyak ayat-ayat al-Quran yang bercerita mengenai perkara ini.

“Jadi kalau Tun ada buat salah atau berdosa dengan saya, jika beliau minta maaf maka berpandukan agama Islam, saya sedia memaafkan beliau.

“Jika beliau (Mahathir) enggan meminta maaf, carilah saya di Padang Mahsyar nanti,” katanya semasa ditemubual Malaysia Gazette dalam rancangan OwhMG.

Pada 30 September lalu, Mahathir dalam sesi temubual OwhMG memberitahu beliau tidak akan memaafkan Najib sampai bila-bila.

Ini kerana menurut beliau, Najib telah menghancurkan UMNO.

Ketika ditanyakan mengenai perkara tersebut, Najib menjelaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) telah kehilangan penyokong sejak pertelingkahan di antara Dr. Mahathir dan timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga menyebabkan Anwar dipenjarakan dan tercetusnya gelombang reformasi.

BN menurutnya terselamat ketika itu oleh undi orang Cina dan India sahaja.

Malah kemenangan besar Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2004 juga disebabkan rakyat beranggapan era Dr. Mahathir telah berakhir namun Ahli Parlimen Langkawi itu mula menyerang Abdullah sehingga menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga semasa pilihan raya 2009.

Ketika Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Mac 2009, beliau telah melakukan pelbagai usaha untuk menarik semula undi kepada UMNO dan BN namun tetap gagal memperolehi majoriti dua pertiga.

Namun begitu, beliau tetap berjaya memimpin UMNO untuk memenangi lebih banyak kerusi iaitu sebanyak 89 kerusi.

“Semasa PRU 2018, kita kalah. Masa itu kita tengok trend menolak UMNO/BN telah sampai ke tahap maksimum dan apa yang saya hendak kata, trend penurunan undi BN bukan bermula dari zaman saya.

“Ianya sudah bermula dari peringkat awal lagi,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Najib juga tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan kitaran politik di negara ini yang mana rakyat mahu melihat parti selain BN yang memerintah negara pada PRU-14.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: