Sabtu, 17 Oktober 2020

'Jawi pernah diguna tulis cerita erotis, iklan arak' - Pengkaji

Tulisan Jawi cuma sekadar tulisan yang berasal dari huruf Arab dan kemudian disesuaikan dalam bahasa Melayu, kata penulis dan pengkaji budaya Hazman Baharom.

Hazman menjawab kebimbangan yang sering kali dibangkitkan masyarakat bukan Islam mengenai pembelajaran tulisan Jawi yang didakwa mempunyai unsur Islamisasi.

"Tulisan Jawi jadi kontroversi sebab ada hujah mengatakan perkataan Arab mampu menjadi unsur Islamisasi.

"Sedangkan tujuan tulisan Jawi ini adalah untuk mengungkap pelbagai bidang ilmu dan tujuan," katanya yang banyak menyelidik mengenai sejarah tulisan Jawi.

Hazman berkata demikian ketika menjawab soalan moderator, penganalisis politik Dr Wong Chin Huat mengenai kerisauan pembelajaran Jawi di kalangan bukan Islam pada webinar berjudul

"Tulisan Jawi dan pendidikan (perspektif sejarah) malam tadi.

Webminar ini merupakan anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, serta badan pemikir Pusat Penyelidikan Sosiobudaya dan Agama Malaysia (Saudara).

Hazman selanjutnya menjelaskan walaupun berkongsi huruf sama, tulisan Jawi dan Arab tetap dua perkara yang berbeza.

"(Mengatakan) belajar bahasa Jawi boleh memudahkan pembacaan al-Quran (juga) adalah tidak tepat.

"Boleh berbahasa Jawi tak semestinya boleh bahasa Arab tapi sekadar memudahkan ia kerana bacaan al-Quran perlukan ilmu tajwid," kata Hazman yang juga seorang pensyarah di Kolej Kesihatan Ramsay Sime Darby.

Menurut Hazman, dimensi ketakutan golongan bukan Islam akan berterusan sekiranya mereka tidak memahami sejarah penggunaan tulisan Jawi yang tidak semestinya bertujuan hal-hal keagamaan.

"Analisis daripada hujah-hujah membuktikan tulisan Jawi (pernah) digunakan dalam pengiklanan arak atau cerita-cerita lucah dan erotis.

"Contoh ini menunjukkan tulisan Jawi turut digunakan dalam perkara-perkara dosa dan tak semestinya digunakan untuk tujuan Islamisasi atau Arabisasi," kata Hazman tanpa memberi perincian mengenai penelitiannya itu.

Sistem tulisan bahasa Melayu mengalami perubahan sepanjang beberapa abad lalu, dan Jawi merupakan sistem yang digunakan pada masa lalu.

Untuk rekod, selepas kemerdekaan Malaya, pelaksanaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1957 menyatakan Rumi yang berdasarkan abjad Latin sebagai tulisan bagi bahasa kebangsaan tetapi pada masa sama tiada larangan terhadap penggunaan Jawi.

Antara sistem tulisan paling awal bahasa Melayu ialah adaptasi daripada sistem yang digunakan untuk bahasa Sanskrit, yang berasal dari India.

Sejak abad ke-8 hingga abad ke-13, Bahasa Melayu Kuno ditulis menggunakan pelbagai sistem tulisan seperti Rencong, Pallava dan Kawi.

Semua sistem ini berasal daripada abjad Brahmi yang tersebar di Nusantara bersama-sama agama Hindu dan Buddha pada masa itu.

Tulisan Jawi diperkenalkan di Nusantara bersama dengan ketibaan dan penyebaran Islam pada era 1300-an. Oleh kerana tulisan itu lebih berkesan dalam membantu pemahaman teks agama seperti al-Quran dan hadis, ia digunakan secara meluas dan mengambil tempat sistem tulisan berasaskan Brahmi.

Menurut Hazman lagi, orang ramai perlu belajar banyak bahasa dan tulisannya untuk mengurangkan prejudis dalam kehidupan dan menghargai kepelbagaian.

Tiada ulasan: