Ahad, 18 Oktober 2020

GST lebih baik dalam jangka masa panjang, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi berkata pelaksanaan semula GST perlu diiringi dengan langkah lain 
seperti sistem cukai pendapatan yang lebih mudah dan kadar lebih rendah. (Gambar 
Bernama)

PETALING JAYA: Beberapa pakar ekonomi tidak bersetuju dengan gesaan seorang pemimpin DAP supaya Putrajaya tidak melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), dengan berkata sistem cukai yang dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah lebih baik dalam jangka masa panjang dan boleh memainkan peranan penting dalam krisis ekonomi buat masa ini.

Ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia Carmelo Ferlito berkata, cukai ke atas penggunaan akan memupuk mentaliti berjimat cermat dalam kalangan rakyat, selain menambah bahawa ia adalah keperluan memandangkan hutang isi rumah di Malaysia antara yang tertinggi di dunia.

“Hasilnya, tabungan tambahan akan menjadi dana yang diperlukan untuk pelaburan baru, yang merupakan kunci kepada pemulihan ekonomi,” beliau memberitahu FMT.

Mengakui bahawa GST mungkin bersifat regresif dengan menambah bebanan kumpulan berpendapatan rendah, beliau berkata, sistem yang lebih bersasar boeh mengatasi masalah berkenaan.

Carmelo Ferlito.

Beliau berkata, barang keperluan asas yang biasa digunakan oleh kumpulan berpendapatan rendah seperti beras boleh dikecualikan GST, manakala barang mewah yang berkait rapat dengan isi rumah berpendapatan tinggi boleh dikenakan kadar sebanyak 10%.

Selain itu, barangan pembangunan utama seperti barangan berkaitan kebudayaan dan pendidikan boleh dikenakan kadar lebih rendah 3%, manakala barangan lain yang tidak diklasifikasi di bawah mana-mana 3 kategori itu boleh dikenakan “kadar sederhana” 6%.

“Jelaslah bahawa cukai penggunaan semata-mata tidak mungkin menghasilkan keajaiban. Bagi menghindari pengenalan semula GST daripada mengganggu usaha memulihkan ekonomi, pelaksanaannya harus diiringi dengan langkah fiskal lain seperti cukai pendapatan yang lebih mudah dan rendah,” katanya.

Liew Chin Tong.

Pada Sabtu, Liew Chin Tong menggesa Putrajaya supaya menamatkan khabar angin mengenai pelaksanaan semula GST dengan menolak sebarang langkah ke arah itu dengan berkata, sistem cukai berkenaan adalah antara sebab kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 2018.

Katanya, keluarga berpendapatan rendah dan sederhana perlu membayar lebih banyak berbanding mereka yang berpendapatan tinggi.

Bagaimanapun Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, GST adalah baik bagi ekonomi keseluruhan kerana ia meluas dan cekap.

Beliau berkata, Putrajaya mungkin akan mempertimbangkan pelaksanaan semulanya kerana ia memerlukan hasil.

Barjoyai Bardai.

“Di atas kertas, ia kelihatan regresif kepada kumpulan berpendapatan rendah, tetapi begitu juga cukai pendapatan. Kita mempunyai sistem cukai korporat tunggal yang membolehkan pemegang saham menghindari pembayaran cukai kerana ia dikenakan di peringkat korporat, dengan margin keuntungan termasuk dalam cukai yang dibayar.

“Pemegang saham dalam kebanyakan syarikat senaraian awam tidak membayar cukai daripada pegangan saham berkenaan. Apabila mereka menjual saham ia juga tidak dikenakan cukai kerana ia merupakan keuntungan modal,” beliau memberitahu FMT.

Walaupun wujud pro dan kontra berhubung pelaksanaan semula dasar itu, beliau berkata, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada boleh diubah sedikit demi sedikit untuk turut merangkumi unsur GST supaya ia tidak terlalu langsung.

Sekiranya GST dilaksanakan semula, Ferlito mencadangkan supaya cukai berkenaan dikutip oleh negeri dengan mengambil 20% daripada kutipan dan memindahkan baki 80% kepada kerajaan pusat.

“Ia boleh digunakan bagi menguji tahap devolusi cukai yang lebih tinggi dengan kerajaan negeri terlibat dalam kutipan cukai sekali gus mempunyai akses langsung kepada dana yang boleh digunakan untuk menyokong wilayah berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: