AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak membuat andaian kemarahan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad bermula selepas anaknya, Datuk Seri Mukhriz tewas dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden UMNO.

Najib berkata, Dr. Mahathir mungkin menyalahkan dirinya apabila Mukhriz tewas dalam pemilihan UMNO pada tahun 2013.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, dia tidak dapat memikirkan sebab lain mengapa Dr. Mahathir terlalu marah terhadap dirinya.

“Yang mula dia tulis surat pada saya dia tidak sebut isu 1MDB. Dia kata dia tidak setuju dengan dasar-dasar saya. Dia tarik sokongan terhadap saya sebab dia tidak bersetuju dengan dasar-dasar saya. Itu sahaja dia sebut. Dia tidak sebut hal lain.

“Malah dia tidak terangkan apa dasar yang dia tidak setuju. Jadi sampai hari ini saya cuma boleh andaikan sahajalah.

“Tapi kalau kita lihat barangkali sebab dalam pemilihan parti dia mana anaknya, Mukhirz kalah jawatan Naib Presiden. Dia menyalahkan saya,” kata Najib dalam wawancara yang diterbitkan oleh Malaysia Gazzate.

Najib berkata, dia tidak pernah menyekat kemaraan Mukhriz dalam kerjaya politik.

Menurut Najib, dia pernah bertanya kepada Mukhriz jawatan apa yang mahu ditandingi dalam pemilihan parti selepas dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

“Dia kata dia mahu bertanding Majlis Tertinggi sahaja. Tidak lebih daripada itu.

“Jadi bila dia beritahu saya dia mahu bertanding Majlis Teringgi sahaja saya balik ke Kuala Lumpur saya sokonglah penyandang kerusi masa itu Ahmad Zahid Hamidi, Mohd. Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussein. Sebab ketiga-tiga ini baru satu penggal sahaja.

“Mukhriz pun belum menang jawatan Majlis Tertinggi. Atas tiket sendiri dia dilantik (Ahli Majlis Tertinggi) dan dia baru menjadi Menteri Besar Kedah,” kata Najib.

Menurutnya tidak pernah dalam sejarah UMNO mereka yang menang jawatan Naib Persiden tanpa bertanding jawatan Majlis Tertinggi terlebih dahulu.

Najib berkata, sekiranya Mukhirz berjaya menunjukan prestasi yang cukup baik sebagai Menteri Besar dan dapat mempertahankan Kedah sebagai negeri yang dikuasai Barisan Nasional maka pusingan selepas itu baru dia layak bertanding Naib Presiden.

“Itu pada fikiran sayalah. Saya tidak menolak Mukhriz tapi Mahathir mungkin anggap saya menyekat peluang anak dia untuk naik dalam politik,” kata Najib.

Najib berkata demikian ketika ditanya sejak bila bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu mula melemparkan kemarahan terhadap beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, dia masih terhutang budi kepada Dr. Mahathir yang menyokong dirinya menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun menurut Najib, kemarahan Dr. Mahathir terhadap dirinya dirasakan cukup keterlaluan.

“Sebenar satu ketika dahulu kita memang rapat dan saya mengenang budi dia pada saya. Dia menyokong saya menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Itu tidak dapat dinafikan. Memang dia usahakan

“Tapi apa yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini reaksi dia, saya anggap keterlaluan.

“Kalau apapun saya buat pun takkanlah sampai begini. Takkan satu temubual sebut nama saya sampai 32 kalikan. Itu sudah dikira sebagai satu benda yang keterlaluan sangatlah,” kata Najib. – SM