Isnin, 5 Oktober 2020

Bicara kes 1MDB ditangguh, Najib kuarantin di rumah

BERNAMA

NAJIB Razak. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan disambung semula pada 19 Oktober setelah bekas perdana menteri itu kini menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu selepas pulang dari Sabah.

Najib berada di negeri itu untuk berkempen pada pilihan raya negeri Sabah, bulan lalu.

Peguam utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon perbicaraan itu ditangguhkan ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Lawrence Sequerah hari ini.

"Anak guam saya disahkan negatif pada 27 September tetapi berdasarkan catatan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam media sosial bahawa jika positif, perlu ke hospital.

"Bagaimanapun, jika diuji negatif tetapi ada kontak rapat atau terdedah kepada mereka yang dijangkiti, perlulah mematuhi arahan pengawasan kendiri di rumah selama 14 hari," katanya.

Muhammad Shafee berkata, selain mematuhi arahan pengawasan di rumah, Najib juga mengambil program peningkatan imun pada 3 Oktober.

"Beliau (Najib) akan dapat menghadiri program seperti biasa pada hari ke-15," kata Muhammad Shafee.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam tidak membantah permohonan penangguhan itu.

Hakim membenarkan permohonan tersebut.

"Melihat kepada keadaan sekarang ini, agak berisiko. Biasanya dalam 13 hari, simptomnya dapat dilihat. Saya membenarkan permohonan ini (untuk menangguhkan perbicaraan). Perbicaraan disambung pada 19 Oktober," kata hakim.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Tiada ulasan: