Khamis, 13 Ogos 2020

Rampas barang penjaja: Datuk Bandar DBKL diminta beri penjelasan

Kumara Sabapatty
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A. Dahlan telah diminta memberi penjelasan berhubung tindakan penguatkuasa yang merampas barang-barang penjaja di Taman Tasik Titiwangsa, baru-baru ini.

Arahan itu dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa selepas menerima satu video tular warga netizen yang merakam insiden itu dan dikongsi di laman sosial.

“Datuk Bandar Kuala Lumpur diminta memberi penjelasan kepada saya petang ini juga berkaitan video dan peristiwa ini.

“Tugas penguatkuasaan memang perlu namun perlu dipastikan kebijaksanaan dan berhemah dalam menyelesaikan sesuatu..insyallah saya siasat dulu,” katanya dalam ciapan beliau.

Dalam perkembangan sama katanya, tugas penguatkuasaan di ibu negara adalah penting dan perlu dihormati oleh semua.

Pun begitu katanya, perlu ada kebijaksanaan menyelesaikannya.

Katanya, beliau akan mendekati penjaja di Tasik Titiwangsa yang terjejas untuk mendapatkan maklumat lanjut sejurus selepas menerima penjelasan DBKL berhubung kejadian tersebut.

“Selepas saya dapat feedback DBKL nanti Insyaallah saya akan ke Tasik Titiwangsa petang ini dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai,” ujarnya.

Tindakan penguatkuasaan DBKL ke atas penjaja yang tidak berlesen itu menerima kritikan netizen  selepas segala peralatan mereka dirampas.

Pengguna Facebook bernama Cikgu Izzat Johari  memuat naik video yang dirakam netizen berkata: “Walaupun ianya satu kesalahan kepada peniaga yang tidak mempunyai lesen perniagaan, saya rasa pihak DBKL boleh bertimbang rasa untuk mengarahkan peniaga untuk kemas dan balik. Mohon ada sedikit pertimbangan.

“Sudah tiba masanya, pihak DBKL menyediakan tapak berniaga yang lebih banyak kerana pasca Covid-19 ini, ramai yang mencuba nasib untuk berniaga bagi meneruskan hidup,” tegas Cikgu Izzat.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: