Khamis, 13 Ogos 2020

Amir Khusyairi Tanusi calon parti baharu Dr M PRK Slim

Amir Khusyairi Tanusi, 38, anak jati Perak merupakan pemegang ijazah sarjana 
muda undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan 
fasih dalam 3 bahasa termasuk bahasa Arab.

PETALING JAYA: Kumpulan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan peguam syarie dan peguam bela Amir Khusyairi Tanusi sebagai calon bebas mewakili parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Watikah pencalonan itu disampaikan oleh Mahathir yang turut disaksikan bekas setiausaha PPBM yang juga pengarah PRK DUN Slim, Marzuki Yahya, serta beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Mohamad Sabu, Anthony Loke dan Mukhriz Mahathir.

Amir, 38, anak jati Perak merupakan pemegang ijazah sarjana muda undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan fasih dalam 3 bahasa termasuk bahasa Arab.

Bekas pengerusi PPBM, Mahathir mengumumkan parti baharu yang ditubuhnya sebagai Pejuang hari ini.

Sebelum ini, kumpulan Mahathir mengesahkan akan bertanding di PRK Slim.

PRK Slim diadakan susulan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 Ogos sebagai penamaan calon dan 29 Ogos untuk hari mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan PPBM yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Bukan katak

Sementara itu, Mahathir berkata penduduk di Slim bukan berketurunan katak seperti mana beberapa wakil rakyat yang melompat parti terutama yang berlaku di Sabah.

“Di Sabah, mereka bagi berbilion wang, kalau tak bagi duit kenapa mereka nak lompat? Sebab duitlah mereka keluar Warisan.

“Saya harap di Slim, kita semua bukan keturunan katak. Kita tegap, kita jalan lurus dan kita akan berjuang demi bangsa, negara dan agama kita, itu adalah perjuangan yang mulia,” katanya.

Beliau mendakwa, ada wakil rakyat parti berkenaan menerima suapan antara RM5 juta hingga RM32 juta seorang supaya meninggalkan parti tempatan itu.

Mahathir juga mendakwa, pentadbiran Muhyiddin ketika ini bukan atas dasar perjuangan bangsa, agama dan negara tetapi mengutamakan jawatan dan gaji yang besar.

“Muhyiddin tanya, sokong saya atau tidak? Kalau sokong kita bagi jadi menteri. Tiada jawatan menteri pun kita bagi ada jawatan. Inilah Muhyiddin, apa yang ada pada Muhyiddin hari ini adalah sebab duit. Bukan perjuangan.

“Ini politik wang, bukan sebab perjuangan nak bangunkan negara tetapi apa aku dapat,” katanya.

Beliau turut mempelawa ahli PPBM yang sudah meninggalkan parti itu menyertai parti baharunya atas prinsip memperjuangkan bangsa dan agama yang dikhianati Muhyiddin

Tiada ulasan: