Selasa, 4 Ogos 2020

Kerani tak sedar bendera terbalik

Mohamed Farid Noh

PEMASANGAN bendera terbalik di sekolah di Kluang sehingga tular di media sosial.

BENDERA Malaysia terbalik di sekolah jenis kebangsaan di Kluang sudah dibetulkan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya membuat siasatan sebaik sahaja dimaklumkan.

"Hasil siasatan di sekolah berkenaan, pagi tadi mendapati insiden berkenaan berikutan kerani tersilap menaikkan bendera dan ia tidak disedari.

"Namun ia sudah dibetulkan selain nasihat sudah diberikan supaya pihak sekolah lebih berhati-hati selepas ini, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Gambar kejadian itu tular sejak malam tadi dan didakwa dikesan 4.30 petang semalam oleh orang awam yang melalui di hadapan sekolah berkenaan.

Aduan dan teguran dibuat menerusi akaun Facebook sekolah terbabit, namun sehingga 9 malam tadi bendera berkenaan tidak dibetulkan.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari, berkata, Pejabat Pendidikan Daerah Kluang sudah diarahkan untuk membuat pemeriksaan di sekolah berkenaan.

"Sekolah berkenaan sudah membetulkan pemasangan bendera Malaysia dan turut dinasihatkan supaya lebih berwaspada kerana ia membabitkan sentimen awam, " katanya.

Sebuah lagi insiden pemasangan bendera terbalik dikesan di taman perumahan, di Kluang, tular sejak pagi tadi.

Abduh ketika dihubungi pula berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan.

Netizen di media sosial juga mempersoalkan mengapa insiden bendera terbalik kerap berlaku ketika bulan kemerdekaan negara bakal berlangsung.

Tiada ulasan: