Selasa, 4 Ogos 2020

Belum terima laporan lelaki hina Islam, raja

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PAPARAN video dipercayai lelaki rakyat Malaysia di United Kingdom yang menghina agama Islam, raja dan negara. FOTO Tular

POLIS belum menerima laporan berhubung tindakan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia di United Kingdom yang menghina agama Islam, raja dan negara.

Video berdurasi 11 minit 20 saat itu mula tular sejak semalam dan mendapat kecaman rakyat negara ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, video berkenaan berlaku di luar negara.

"Identiti individu terbabit masih tidak diketahui. Sehingga kini polis tidak menerima sebarang laporan berhubung video itu.

"Siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948," katanya ketika dihubungi hari ini

Difahamkan video itu dirakam di United Kingdom memaparkan seorang lelaki mengherdik dan menghina agama Islam selain turut menghina raja-raja Melayu.

Warganet mahu pihak berkuasa mengambil tindakan kerana lelaki itu dipercayai warganegara Malaysia dan tinggal di luar negara.

Tiada ulasan: