Khamis, 13 Ogos 2020

Kanak-kanak 8 tahun disambar buaya di Sungai Kinabatangan

Bapa mangsa hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar air berkocak 
sebelum melihat anaknya ditarik buaya ke dalam sungai. (Gambar APM)

KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dipercayai disambar buaya dalam kejadian di Kampung Muhibbah Hujung, semalam.

Mangsa Asmin Abdullah dikatakan disambar reptilia itu kira-kira 10 pagi ketika mengikuti bapanya ke Sungai Kinabatangan untuk menurunkan perahu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kinabatangan Ahmad Roslan Mohd Kamel ketika dihubungi berkata, sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi mencarinya giat dijalankan.

Katanya, ketika kejadian mangsa dipercayai mandi di tebing sungai dan berada di belakang bapanya.

Sehingga kini Asmin Abdullah, 8, yang dipercayai disambar 
buaya masih belum ditemui dan operasi mencarinya giat 
dijalankan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 
bersama penduduk.

“Bapa mangsa hanya menyedari kejadian itu apabila terdengar air berkocak sebelum melihat anaknya ditarik buaya ke dalam sungai.

“Bapa mangsa dan penduduk cuba mendekati buaya itu apabila ia timbul sejam kemudian dengan mangsa dilihat berada dalam mulut reptilia itu, namun dibawa masuk semula ke dalam sungai.

“Operasi mencari dilancarkan sejak semalam sebaik menerima maklumat,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari hari ini membabitkan 35 anggota penyelamat dan 3 bot dengan dibantu penduduk kampung.

Tiada ulasan: