SUNGAI SIPUT: Wanita yang dikatakan melanggar perintah kuarantin di rumah apabila makan di sebuah restoran yang tular dalam media sosial semalam sudah dikenal pasti.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, restoran tempat wanita berkenaan makan juga telah dikenal pasti.
Menurutnya, wanita berkenaan dan pihak restoran serta semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat ini difahamkan individu berkenaan sudah dikenal pasti, begitu juga kedai makan yang terlibat.
“Cuma belum masanya untuk saya maklumkan secara terperinci berkaitan kedai dan pelakunya.
“Kita akan panggil semua pihak dan kita akan melihat apa tindakan yang sewajarnya kepada yang terlibat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam operasi memindahkan seekor gajah di Kampung Jalong di sini hari ini.
Ditanya sama ada kejadian itu berlaku di Meru Raya di Ipoh seperti yang didakwa, Ahmad Saidi enggan mengulas.
“Saya tak mahu mendahului sesiapa. Saya akan makluman jika sudah dapat maklumat, ini untuk mengelak kebimbangan orang ramai,” ujarnya.
Ahmad Saidi turut meminta semua pihak termasuk pengusaha restoran dan individu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi menangani wabak Covid-19.
“Bagi individu, jika bergejala Covid-19, kuarantinlah diri sendiri di rumah,” katanya.
Semalam tular dalam media sosial gambar seorang wanita memakai gelang tangan (wristband) merah jambu pengesanan Covid-19 makan di restoran.
Kejadian dikatakan berlaku di Meru Raya di Ipoh.
Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata individu yang menjalani proses kuarantin wajib di rumah dalam tempoh 14 hari. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan