Jumaat, 24 Julai 2020

Video TikTok, YouTube tak perlu lesen Finas

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pengguna media sosial bebas memuat naik video seperti biasa tanpa mememerlukan lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

“Pengguna media sosial bebas menggunakan platform yang sedia ada seperti TikTok, YouTube dan sebagainya, termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh Finas ,” katanya.

Katanya perkara itu antara perkara yang dipersetujui kabinet hari ini.

Saifuddin semalam dikritik hebat selepas berkata penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tidak kira media arus perdana atau media personal yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keperluan lesen itu turut terpakai ke atas pihak yang menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.

Isu lesen itu muncul selepas kerajaan memutuskan untuk menyiasat sama ada Al-Jazeera mempunyai lesen selepas menerbitkan dokumentari berkaitan layanan kerajaan terhadap pekerja asing ketika Covid-19.

Sementara itu, kabinet juga, kata Saifuddin Abdullah, memberi komitmen untuk mendukung kebebasan media dan hak kebebasan individu di media sosial serta akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Pindaan itu, katanya lagi, akan mengambil kira situasi semasa.

Saifuddin berkata, pada 20 Jun lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah memulakan usaha meminda akta-akta bawah pengawasan kementerian agar bersesuaian dengan situasi semasa.

“Kerajaan akan memulakan proses meminda akta-akta tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan: