Ahad, 5 Julai 2020

Usah jadikan Dewan Rakyat medan percaturan politik - MP pembangkang

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sekumpulan tujuh anggota parlimen pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama bagi membantah usul yang dikemukakan kerajaan untuk menukar Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Mingdan.

"Kedua-dua mereka telah berkhidmat dengan penuh sikap profesional sebagai pengelola dan timbang tara Dewan yang mulia, dan tidak ada asas yang kukuh untuk menyingkirkan kedua-duanya," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kumpulan itu terdiri daripada Fahmi Fadzil (PKR- Lembah Pantai), Hasanuddin Mohd Yunus (Amanah-Hulu Langat), Alice Lau Kiong Yieng (DAP- Lanang), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) , Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) dan Baru Bian (PSB-Selangau).

"Sejak pelantikan YB Tan Sri Yang di-Pertua sebagai Speaker Parlimen, pelbagai reformasi dan penambahbaikan Parlimen telah dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen.

"Langkah-langkah pembaharuan telah diperkenalkan untuk mempertingkatkan mutu dan memastikan ketelusan prosiding Parlimen.

Mereka berkata, antara langkah itu termasuk menubuhkan enam Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta mewujudkan Kumpulan- Kumpulan Rentas Parti (All-Party Parliamentary Groups) untuk lebih merakyatkan Parlimen.

"Parlimen merupakan institusi penting sebagai wadah demokrasi dan membawa suara rakyat.

"Ia tidak harus dijadikan medan percaturan politik secara sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah.

Pada 2 Julai lalu, Pakatan Harapan (PH) membantah usul yang difailkan perdana menteri, Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan Ariff dan Kor Ming.

Ariff berkata pejabatnya telah menerima kedua-dua usul untuk dibahaskan.

Ariff meletak jawatan sebagai ketua jawatankuasa disiplin dan anggota jawatankuasa penasihat pakar Amanah sebelum dicadangkan sebagai speaker, manakala Nga, yang juga ahli parlimen Teluk Intan, masih bersama DAP.

Timbalan Speaker, Mohd Rashid Hasnon, yang juga ahli parlimen Batu Pahat dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional, tidak terjejas jawatannya.

Tiada ulasan: