Rabu, 15 Julai 2020

Tiada pemeriksaan cerun sejak 2013, kata laporan audit

Pahang antara negeri tertinggi yang mempunyai 276 cerun berisiko sangat tinggi,
diikuti Perak (176) dan Kelantan (105). (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pemeriksaan penyenggaraan rutin cerun di jalan persekutuan Semenanjung tidak dijalankan sejak 7 tahun lalu kerana kekangan peruntukan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3.

Menurut laporan itu, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) di bawah Jabatan Kerja Raya perlu menjalankan pemeriksaan penyenggaraan rutin sekurang-kurangnya sekali atau 2 kali setahun, bergantung kepada tahap bahaya serta risiko cerun yang dikenal pasti.

“Pemeriksaan ini perlu dilaksanakan untuk menentukan keperluan bagi kerja pencegahan cerun. Semakan Audit mendapati pemeriksaan pernah dijalankan pada 2007 hingga 2012, namun ia tidak diteruskan lagi atas arahan pengarah CKC pada April 2013 akibat kekangan peruntukan,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, terdapat 946 cerun berisiko sangat tinggi di jalan persekutuan Semenanjung Malaysia setakat 2010, dengan skop pencegahan terbahagi kepada cerun tanah dan batuan.

Pihak Audit dimaklumkan CKC membuat perancangan melaksanakan kerja pencegahan cerun untuk semua 946 cerun dengan kos RM200 juta bagi 2018 hingga 2020.

Pahang antara negeri tertinggi mempunyai cerun berisiko sangat tinggi (276 cerun), selain Perak (176) dan Kelantan (105).

Laporan Ketua Audit Negara turut menyebut semakan mendapati hanya 56 cerun (5.9%) daripada 946 sudah dijalankan kerja pencegahan pada 2018.

“Semakan Audit mendapati bagi 2018, peratusan cerun diselenggara adalah rendah berbanding perancangan disebabkan kontraktor tidak berupaya melaksanakan keseluruhan kerja yang dirancang. Keadaan ini akan memberi risiko tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya.”

Audit kemudian mengesyorkan perlunya penyediaan garis panduan terperinci untuk meningkatkan kecekapan pengurusan cerun, mengkaji semula prestasi kontraktor dilantik bagi kerja pembaikan dan pencegahan cerun.

Tiada ulasan: